RANTAU PANJANG - Lebih 100 ahli PKR Ranting Lubok Gong, di sini bertindak meninggalkan parti itu dan menyertai UMNO berkuat kuasa serta-merta.Mendedahkan tindakan itu, bekas Ketua Ranting, Ariffin Ismail, 63, berkata, keputusan tersebut dibuat selepas tidak sehaluan dengan Ketua PKR Cabang Rantau Panjang, Nik Ghazali Nik Md Amin."Selepas pemilihan cabang baru-baru ini, kami merasa tidak dihargai apabila tidak dipanggil untuk mesyuarat oleh pucuk pimpinan Cabang Rantau Panjang."Tindakan ini bukan tidak sayang kepada parti, bukan salah PMX (Presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim) tetapi disebabkan oleh sikap ketua cabang yang tidak cakna kepada ahli di akar umbi," katanya kepada pemberita pada Sabtu.Menurutnya, disebabkan itu tugas yang digalas sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) untuk membantu rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Gual Periok tidak dapat dilaksanakan.Katanya, situasi itu berbeza dengan pimpinan UMNO Rantau Panjang dan Gual Periok yang selalu turun padang membantu rakyat.Ariffin berkata, situasi itu membuatkan beliau malu pucuk pimpinan berbuat demikian dan tidak cakna dengan rakyat di kawasan tersebut."Saya memilih untuk menyertai UMNO kerana yakin parti itu lebih dekat dengan rakyat dan banyak membantu penduduk, terutama ketika banjir," katanya.