SHAH ALAM – Sebanyak 80 peratus pelajar Cina masih mengikuti sistem pendidikan kebangsaan manakala Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) hanyalah satu aliran kecil yang menawarkan peluang pendidikan tambahan dalam bahasa Mandarin.Bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Mohd Rafizi Ramli berkata, isu UEC sering dijadikan ‘dopamin politik’ oleh pelbagai pihak, sedangkan ia hanya melibatkan sebahagian kecil pelajar."Realitinya hanya sebahagian kecil pelajar Cina di Malaysia yang mengambil peperiksaan ini."Daripada 400,000 pelajar Cina di sekolah menengah, hanya kira-kira 90,000 mengikuti UEC. Itu pun sekitar 20 peratus sahaja," katanya menerusi siaran Yang Berhenti Menteri.Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan bahawa sebarang tuntutan yang melibatkan isu bahasa, agama dan kaum perlu mengambil kira kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.Beliau menegaskan bahawa kerajaan akan terus mempertahankan prinsip asas negara termasuk memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan perpaduan nasional.Dalam pada itu, Rafizi berkata, selagi isu UEC tidak dibincangkan secara rasional dan objektif, ia akan terus menjadi siaran ulangan."Setiap kali menjelang pilihan raya, isu ini kembali dimainkan. Sebab itu saya ajak kita ambil tiga langkah mudah, iaitu fahami dahulu dua perspektif besar: sensitiviti orang Melayu dan keperluan terhadap bahasa Mandarin yang semakin menjadi satu kelebihan utama."Selepas itu, baru kita semak angka. Apabila angka-angka ini diambil kira, kita akan nampak bahawa naratif ‘semua pelajar Cina lari dari sistem’ itu tidak tepat."Jika kita benar-benar serius mahu membina negara yang kompetitif, kita perlu berhenti menjadikan pendidikan sebagai bahan untuk membakar emosi dan mula berfikir bagaimana Malaysia boleh bergerak ke arah masyarakat trilingual (tiga bahasa) tanpa menolak elemen kebangsaan yang membentuk identiti kita," katanya.