KUALA LUMPUR - Pemahaman rakyat Malaysia terhadap Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan perlu diperkasa agar peruntukan itu difahami dengan lebih menyeluruh.Bekas Speaker Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim berkata, peruntukan yang diwujudkan bagi melindungi kedudukan istimewa orang Melayu serta penduduk asal Sabah dan Sarawak itu masih belum dimanfaatkan sepenuhnya atau dipertahankan dengan berkesan."Perkara 153 merupakan jaminan intrinsik yang berakar daripada perjanjian sebelum kemerdekaan dan menjadi asas penting kepada pembentukan negara."Ia merupakan jaminan untuk negara serta amanah kepada peradaban, pentadbiran, institusi raja-raja dan budaya," katanya ketika berucap di Konvensyen Melayu 153, di sini pada Sabtu.Beliau menjelaskan, asas kepada peruntukan berkenaan boleh dikesan melalui Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 apabila pentadbir British ketika itu mengiktiraf keperluan melindungi kepentingan orang Melayu susulan perubahan keseimbangan demografi.Menurut bekas Penasihat Sosio-Budaya Kerajaan itu, pihak British berpandangan tanpa peruntukan tersebut, orang Melayu akan berdepan kesukaran besar.Justeru ujarnya, perlindungan itu diperkukuhkan melalui Suruhanjaya Reid dan memorandum yang dikemukakan oleh Raja-Raja Melayu."Walaupun Perkara 153 mengutamakan kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera, ia turut mewajibkan pemeliharaan kepentingan sah kaum lain."Orang Melayu perlu sentiasa diingatkan mengenai kerangka Perlembagaan yang menjadi asas kepada hak-hak mereka."Ini tanah kita dan selepas konvensyen ini, wakil-wakil kita mesti menyampaikan kepada rakyat bahawa inilah hak serta perjuangan bersama," tegasnya.