BEKAS pengendali Liverpool, Jurgen Klopp menegaskan bahawa beliau tidak berminat untuk mengambil alih jawatan ketua jurulatih Real Madrid, sekali gus menepis khabar angin yang mengaitkannya dengan kelab gergasi Sepanyol itu.Spekulasi tercetus susulan tekanan dihadapi Xabi Alonso yang baru dilantik sebagai pengendali Real Madrid pada musim panas lalu selepas mencipta sensasi bersama Bayer Leverkusen dengan menjuarai Bundesliga tanpa kalah serta merangkul Piala Liga.Alonso yang juga bekas pemain tengah Liverpool sebelum ini turut dikaitkan dengan kekosongan jawatan di Anfield selepas Klopp mengumumkan pengundurannya.Namun, Real Madrid bertindak pantas melantik bekas pemain antarabangsa Sepanyol itu sebagai pengganti Carlo Ancelotti.Walaupun dianggap antara jurulatih muda paling berpotensi di Eropah, Alonso berdepan cabaran besar di Santiago Bernabeu apabila Real Madrid berada di belakang Barcelona dalam perebutan kejuaraan La Liga.Los Blancos turut dikecewakan Manchester City dalam aksi Liga Juara-Juara Eropah pertengahan minggu lalu dan kini berada di kedudukan ketujuh fasa liga namun masih berada di landasan untuk menamatkan saingan dalam kelompok lapan terbaik.Prestasi tidak menentu dengan hanya dua kemenangan daripada lapan perlawanan terakhir menyaksikan tekanan semakin memuncak terhadap Alonso, ditambah pula dengan khabar angin mengenai ketegangan dalam bilik persalinan.Nama Klopp kemudian disebut-sebut sebagai calon pengganti, namun bekas pengendali The Reds itu kini memegang jawatan Ketua Bola Sepak Global bagi kumpulan Red Bull selepas memilih untuk berehat daripada tugasan harian sebagai jurulatih.Walaupun begitu, spekulasi mengenai kepulangannya ke dunia kejurulatihan terus berlegar.Sky Sports Jerman melaporkan Klopp, bekas pertahanan Liverpool, Alvaro Arbeloa serta legenda Perancis, Zinedine Zidane, antara individu yang dipertimbangkan sekiranya berlaku pertukaran jurulatih di Madrid.Namun, media Sepanyol, SPORT memetik kenyataan Pengarah Bola Sepak Global Red Bull, Oliver Mintzlaff yang seolah-olah menutup pintu kepada kemungkinan Klopp ke Real Madrid."Beliau telah menjelaskan bahawa pada masa ini beliau tidak mahu kembali menjadi jurulatih," kata Mintzlaff dalam satu acara anjuran Leipziger Volkszeitung.