Lapan tahun amal gaya hidup minimalis, pasangan doktor temui kebahagiaan sebenar

SHAH ALAM – Hidup dalam ruang seluas 45 kaki persegi dengan hanya tujuh helai pakaian di sebuah bilik kecil di Banting, Selangor bukanlah satu kekurangan, sebaliknya menjadi sumber ketenangan dan kebahagiaan buat pasangan doktor yang telah mengamalkan gaya hidup minimalis sejak lapan tahun lalu.Dr Amirah Alieya Mohammad, 36, berkata, dirinya dan suami, Dr Muhammad Aiman Salahuddin, 38, memilih gaya hidup minimalis kerana sudah terbiasa hidup dalam ruang kecil dan memiliki barangan yang terhad sejak sebelum ini.Menurutnya, pengalaman tinggal di studio apartmen kecil sebelum ini menjadikan kehidupan dalam bilik bersaiz kecil berhampiran klinik bukan sesuatu yang asing atau membebankan."Macam mana saya bertahan dengan tujuh helai pakaian dan tinggal dalam bilik seluas 45 kaki persegi sebenarnya adalah perkara biasa untuk saya kerana sebelum ini pun saya memang tinggal di studio apartmen yang kecil sahaja."Baju saya pun memang tak banyak daripada awal lagi, jadi apabila berpindah ke bilik kecil ini, ia memang cukup dan saya sudah biasa. Jadi, adanya baju sikit, malah ulang pakai dan tukar-tukar," katanya kepada Sinar Harian.Terdahulu, video-video gaya hidup minimalis dikongsikan Dr Amirah Alieya melalui akaun Tik Tok miliknya @minimyalist mendapat perhatian yang mana ada video dimuat naik merekodkan hingga 3.1 juta tontonan.Dr Amirah Alieya berkata, kehidupan dengan jumlah pakaian yang sedikit, mengulang pemakaian dan tinggal dalam ruang terhad tidak menjejaskan kebahagiaan, sebaliknya menjadikan hidup lebih teratur dan mencukupi."Penerimaan dan pandangan daripada orang sekeliling seperti keluarga, kawan dan kakitangan, Alhamdulillah sangat menyokong kerana mereka tahu saya dan suami sudah hidup gaya minimalis sudah lama, sudah lapan tahun."Jadi, mereka semua tidak terkejut sangatlah apabila saya dan suami ambil keputusan untuk pindah masuk dan duduk dalam bilik kecil berdekatan klinik saya," ujarnya lagi.Beliau yang menjadikan Fumio Sasaki dengan bukunya bertajuk "Goodbye Things" untuk inspirasi gaya hidup minimalis memaklumkan, perasaan untuk menambah barangan, perabot atau pakaian baharu hampir tiada kerana telah lama mengamalkan gaya hidup itu."Buat masa sekarang, perasaan untuk menambah barang dan membeli itu memang sangat sikit, hampir tiada. Walaupun pergi ke pusat beli-belah, perasaan untuk membeli barang baharu, beg atau pakaian sudah tidak lagi ada."Saya rasa kerana sudah lapan tahun hidup begini, sejak peringkat awal lagi saya sudah memupuk perasaan cukup dengan baju saya dan barang saya semua boleh digunakan lagi," katanya.Menurut Dr Amirah Alieya, gaya hidup minimalis tersebut akan terus dikekalkan untuk tempoh lima tahun akan datang ataupun selama-lamanya.Mengulas nasihat kepada orang ramai yang ingin mencuba gaya hidup sama, kongsi beliau, kebahagiaan tidak bergantung kepada memiliki banyak barangan, sebaliknya terletak pada rasa kecukupan."Untuk bahagia, kita tak perlukan banyak dalam hidup. Kita hanya perlukan cukup sahaja namun tahap cukup bagi saya mungkin berbeza dengan tahap cukup orang lain."Orang lain mungkin perlukan rumah besar sebab mempunyai banyak anak ataupun perlu dua kereta sebab kedua-dua suami isteri bekerja berbeza tempat. Jika itu tahap mereka terus," katanya.Beliau menasihatkan, ada mana-mana individu boleh mencuba gaya hidup lebih sederhana sekiranya masih berasa tidak bahagia, meskipun mempunyai rumah besar, barangan dan pakaian banyak."Daripada situ kita mungkin akan jumpa kebahagiaan sendiri," ujarnya.