90 peserta terpilih ikuti umrah percuma

KOTA BHARU - Seramai 90 peserta terdiri daripada 44 lelaki dan 46 perempuan terpilih menyertai program umrah percuma Anak Muda Jati Kelantan anjuran Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd dengan kerjasama Masjid Imanul Faizin untuk musim kedua.Bendahari Masjid Imanul Faizin, Rohani Md Yusof berkata, program selama 20 hari itu bermula pada 7 hingga 28 Disember."Tahun ini untuk musim kedua kita adakan kelainan di mana peserta perlu memberikan komitmen sepenuhnya sepanjang 20 hari. Berbeza dengan tahun lepas peserta hanya datang solat berjemaah pada waktu Subuh, Maghrib dan Isyak."Tetapi kali ini mereka diberikan penginapan, makan minum tiga kali sehari serta perlu menghadiri beberapa kelas yang disediakan selain menghadiri solat berjemaah bagi kesemua lima waktu," katanya ketika ditemui pada Majlis Agihan Zakat Asnaf serta Program Keusahawanan Transformasi Digital Anak Muda Kelantan di Masjid Imanul Faizin, Melor di sini.Hadir sama ialah Pengarah Urusan Andalusia Travel & Tours, Ibrahim Mat Sin.Menurut beliau, tahun ini juga peserta dipilih dari jajahan yang lebih jauh seperti Gua Musang, Kuala Krai, Jeli, Pasir Mas dan lain-lain.Ujarnya, kesemua peserta berusia 20 hingga 35 tahun serta belum berkahwin dan ada dalam kalangan mereka yang sanggup cuti kerja, graduan universiti, baru habis sesi persekolahan dan pelbagai latar belakang.Rohani memberitahu, untuk musim kedua ini mereka yang terpilih bukan sahaja memberi fokus kepada menikmati umrah percuma tetapi lebih kepada pengisian untuk dijadikan bimbingan kepada anak muda apabila tamat program."Selain ilmu agama, kita mahu mereka dapat jadikan input yang diperoleh sepanjang program ini sebagai panduan memulakan kehidupan serta berhadapan dengan masyarakat di luar."Ia bukan sekadar pengisian jiwa dan rohani tetapi bekalan ilmu yang bakal mengubah kehidupan mereka sebaik sahaja tamat program," katanya.Sementara itu, Imam Satu Masjid Imanul Faizin, Mohamad Mukhlis Zamri memberitahu, sepanjang 20 hari itu, peserta bukan sekadar solat berjemaah tetapi berpeluang membaiki bacaan solat dan bertadarus al-Quran.Ujar beliau, ia bagi memastikan anak muda tidak lalai serta berjaya di dunia serta akhirat.Peserta dari Gua Musang, Che Sunorhelmani Che Yusoff, 29, yang merupakan seorang tukang jahit sanggup menolak ratusan pasang tempahan baju raya demi memastikan dia dapat memberikan tumpuan dan menyertai program ini."Pada awalnya saya ingatkan hanya solat berjemaah, fokus kepada hendak menunaikan umrah percuma sahaja tetapi rupanya ia lebih menarik daripada jangkaan selama ini."Saya rasa sangat bertuah kerana terpilih. Banyak perkara yang dipelajari walaupun baru seminggu. Ilmu berkaitan usahawan, disiplin diri serta banyak lagi membuatkan saya rasa teruja dengan program ini," katanya.Bagi Ahmad Al-Baihaqi Mohd Khasuraidi, 23, juga dari Gua Musang memberitahu, dia sanggup berhenti kerja buat sementara waktu sebagai jurutera marin semata-mata kerana program ini."Perspektif saya terhadap program ini berubah selepas seminggu di sini, ia bukan sekadar mendedahkan kami tentang ilmu agama, tetapi kelas pengisian yang disediakan banyak membuka minda serta membuatkan kami terus teruja melalui hari-hari lain," katanya.Baru sahaja menamatkan pengajian Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), Nik Aufa Darwish Mohd Yuazhar, 20, dari Machang berkata, program ini membuka mindanya dan memberi peluang dia berkenalan dengan ramai rakan dari pelbagai latar belakang di samping bertukar-tukar ilmu.