SKUAD bola sepak bawah 23 tahun (B-23) menyimpan impian besar untuk melakar kejutan ke atas Thailand dalam aksi separuh akhir bola sepak lelaki Sukan SEA Thailand 2025 di Stadium Nasional Rajamangala pada Isnin.Pengendali B-23 negara, Nafuzi Zain berkata, beliau sedar cabaran sukar yang bakal dihadapi menentang pasukan tuan rumah, namun percaya para pemainnya mampu untuk memberikan aksi terbaik."Saya tahu ia adalah perlawanan yang sangat mencabar menentang Thailand selaku tuan rumah, ditambah pula dengan sokongan padu penyokong mereka di belakang."Ia bukan satu tugas mudah, namun kami perlu mempersiapkan diri sebaik mungkin dari aspek fizikal dan mental untuk menentang pasukan Thailand. Apa yang pasti, kami akan cuba memberikan aksi yang terbaik," katanya.Dalam pada itu, pertahanan Harimau Muda, Ubaidullah Shamsul Fazili berkata, kesemua pemain kini berada pada tahap motivasi terbaik dan menganggap pertemuan itu ibarat aksi penentuan pingat emas.Jelasnya, beliau berharap segala perancangan taktikal yang diatur barisan kejurulatihan dapat diterjemahkan dengan sempurna di atas padang nanti."Sudah tentu esok (Isnin) adalah perlawanan yang sangat penting bagi kami sebagai satu pasukan. Saya fikir semua pemain dalam pasukan sangat teruja untuk beraksi di pentas separuh akhir ini."Bagi kami, ini ibarat perlawanan akhir sebenar untuk kejohanan ini. Saya harap segala-galanya berjalan lancar seperti mana yang telah dirancang," ujarnya.