Kultus Korea: Mufti Perlis percaya Cawangan Khas PDRM ada maklumat

KANGAR – Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) dipercayai mempunyai maklumat lengkap berhubung kegiatan satu gerakan kultus dari Korea Selatan yang menyimpang didakwa aktif di Malaysia dan melibatkan beberapa tokoh politik tempatan.Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dalam satu hantaran di media sosialnya berkata, pihaknya sebelum ini tidak pernah mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai isu berkenaan, kecuali satu hantaran di Facebook bertarikh 3 Disember lalu yang menyentuh secara ringkas mengenai gerakan tersebut.Menurutnya, beliau tidak memberikan sebarang kenyataan kepada media selepas isu itu dibangkitkan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, kerana sedang memberi tumpuan kepada beberapa isu lain."Sejak kenyataan YB Menteri, banyak media dalam dan luar negara mengeluarkan berita mengenainya. Banyak juga wartawan bertanya, namun saya tidak memberikan maklum balas kerana menimbang beberapa isu lain yang sedang saya beri perhatian."Di samping itu saya percaya pihak Cawangan Khas tentu mempunyai maklumat tentang hal ini. Pasukan penyelidik yang membentangkan kepada Jawatankuasa Fatwa Perlis juga telah menyiapkan buku bersama dengan bahan-bahan yang terkumpul," katanya.Mohd Asri yang kini berada di Dubai atas undangan Kerajaan Abu Dhabi berkata, kerajaan diminta memberikan perhatian serius membendung unsur kultus yang mungkin mencetuskan ketegangan dan tindakan luar kawalan dalam masyarakat majmuk atau memesongkan orang muslim yang terlibat.Menurutnya, kerajaan perlu menyiasat dan memantau serta mengambil langkah-langkah yang perlu untuk keamanan dan kebaikan negara."Dua hari lepas, dalam Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis, satu taklimat telah disampaikan tentang Gerakan Kultus dengan pelbagai dakwaan yang sangat janggal dan menyimpang."Gerakan ini aktif di Malaysia atas nama keamanan dan keharmonian tapi berorientasi ajaran menyimpang mereka."Apa yang menimbulkan persoalan, ramai juga ahli parlimen muslim dan orang penting parlimen di negara kita kelihatan aktif dalam menyertai dan membantu gerakan ini," ujarnya.Pada 11 Disember lalu, media melaporkan KDN meminta Mohd Asri tampil menyerahkan maklumat berkaitan dengan dakwaan gerakan kultus menyimpang berasal dari Korea yang sedang aktif di negara ini.Saifuddin Nasution berkata, langkah itu membolehkan PDRM memulakan siasatan terhadap dakwaan berkenaan.Beliau menjelaskan Cawangan Khas PDRM mempunyai unit khusus yang menangani isu ajaran sesat merentasi pelbagai agama dan penganut, termasuk pemantauan modus operandi kumpulan serta individu terlibat.