Suri rumah sanggup gadai barang kemas akhirnya rugi RM131,000 terpedaya tawaran pelaburan

GOMBAK – Terpengaruh dengan tawaran pelaburan di satu aplikasi dalam talian, seorang suri rumah sanggup menggadai barangan kemas, sebelum menyedari dirinya diperdaya sehingga mengalami kerugian lebih RM131,000.Menurut sumber, mangsa berusia 37 tahun itu ketika berada di rumahnya di Batu Caves pada hujung bulan lalu ternampak satu iklan pelaburan di aplikasi itu yang menjanjikan pulangan lumayan."Mangsa yang berminat kemudian menghubungi seorang lelaki untuk melabur sebelum diberi satu ujian kononnya bagi melayakkan dirinya menjadi pelabur syarikat terbabit."Wanita itu turut membuka akaun pelaburan melalui pautan yang diberikan bagi memudahkan urusan pelaburan," katanya.Sumber berkata, sejak itu mangsa membuat beberapa pemindahan wang ke akaun bank berbeza menggunakan wang hasil menggadai barangan kemas miliknya."Suspek bagaimanapun terus meminta mangsa membuat pelaburan tambahan walaupun dia sudah kehabisan wang sebelum mangsa bertanya bila pulangan akan diterima."Sejak itu, suspek memberi pelbagai alasan dan sehingga kini wang yang dilaburkan tidak dipulangkan," katanya.Mangsa telah tampil membuat laporan di Balai Polis Selayang pada Ahad untuk tindakan lanjut.Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir ketika dihubungi pada Isnin mengesahkan menerima laporan berkenaan."Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. Kita masih menunggu maklum balas permohonan penyata bank daripada pihak bank bagi membantu siasatan," katanya.