Malaysia, UAE perkukuh kerjasama pertahanan strategik

SHAH ALAM – Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) terus memperkukuh kerjasama pertahanan strategik dua hala menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) Kerjasama Pertahanan sempena lawatan kerja dua hari Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ke negara itu.Mohamed Khaled berkata, MoU tersebut menandakan satu perbatuan penting dalam hubungan strategik Malaysia–UAE, khususnya dalam memperluas skop kerjasama pertahanan secara lebih menyeluruh dan berpandangan jauh."Jika sebelum ini kerjasama lebih tertumpu kepada aspek ketenteraan, MoU ini meluaskan kerjasama merangkumi penyelidikan pertahanan, pembangunan keupayaan baharu serta pengeluaran produk pertahanan yang memberi manfaat bersama."Diharapkan MoU ini akan membuka lembaran baharu kerjasama pertahanan Malaysia-UAE yang lebih kukuh, saling melengkapi dan berpaksikan keamanan serta kestabilan serantau dan sejagat," katanya.Beliau berkata demikian dalam kenyataan sempena lawatan kerja ke UAE yang turut merangkumi pertemuan dua hala bersama Minister of State for Defence Affairs UAE, Mohamed Bin Mubarak Fadhel Al Mazrouei di Kementerian Pertahanan UAE, Abu Dhabi.Mohamed Khaled berkata, pihak UAE turut mengalu-alukan penyertaan syarikat-syarikat Malaysia untuk menjalin kerjasama dengan EDGE Group, sebuah konglomerat teknologi dan pertahanan milik Kerajaan UAE."Saya juga berpeluang membentangkan keupayaan negara dalam bidang semikonduktor dan komponen aeroangkasa yang dilihat berpotensi untuk menyokong rantaian bekalan produk pertahanan EDGE Group pada masa hadapan."Kedua-dua pihak turut bersetuju untuk terus memperkukuh perkongsian maklumat, pembangunan modal insan, kerjasama pertahanan serta pembangunan inisiatif baharu yang membawa manfaat bersama," katanya.Dalam perkembangan berkaitan, Mohamed Khaled berkata Malaysia turut mencadangkan kolaborasi latihan pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di kapal kelas Gowind milik UAE sebagai sebahagian daripada persediaan mengoperasikan Kapal Tempur Pesisir (LCS) Malaysia yang menggunakan teknologi sama."Cadangan ini disambut baik oleh pihak UAE dan akan diteliti dengan lebih lanjut dari segi bentuk serta keperluan latihan yang bersesuaian," katanya.Sempena lawatan kerja itu juga, Mohamed Khaled berkesempatan mengadakan kunjungan ke Kedutaan Besar Malaysia di UAE, Abu Dhabi.Beliau menzahirkan penghargaan kepada Duta Besar Malaysia, Tengku Datuk Sirajuzzaman Tengku Mohamed Ariffin serta seluruh warga kedutaan atas komitmen dalam memperkukuh hubungan dua hala Malaysia–UAE, termasuk dalam aspek diplomasi pertahanan dan pemeliharaan kepentingan rakyat Malaysia di luar negara."Saya berharap usaha-usaha ini akan terus menyumbang kepada pengukuhan keselamatan dan keamanan serantau serta sejagat, di samping mempererat hubungan strategik Malaysia–UAE dalam bidang pertahanan," katanya.Turut hadir dalam lawatan tersebut ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) MINDEF, Mohd Yani Daud; Ketua Staf Markas Angkatan Tentera Malaysia, Leftenan Jeneral Datuk Azhan Md Othman serta Setiausaha Bahagian Dasar dan Perancangan Strategik MINDEF, Datuk Muhammad Ammir Haron.