KUALA LUMPUR - Usaha pemuliharaan warisan sejarah dan seni bina negara perlu diberi keutamaan bagi memperkukuh jati diri nasional serta meningkatkan kefahaman generasi muda mengenai makna sebenar kemerdekaan.Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pemuliharaan bangunan bersejarah seperti Seri Negara bukan sekadar mengekalkan struktur fizikal, malah merangkumi nilai sejarah, budaya serta perjuangan silam yang wajar dihayati rakyat."Anak-anak perlu didedahkan bahawa negara ini tidak mencapai kemerdekaan dengan mudah."Di sebalik masa depan yang sering digambarkan sebagai 'golden future', wujud liku-liku sejarah yang getir, dibayar dengan keringat, darah dan air mata."Generasi muda wajar memahaminya agar lebih mengenali serta menginsafi peranan dan tanggungjawab mereka," katanya ketika berucap pada Majlis Penyempurnaan Pemuliharaan Seri Negara, di sini pada IsninDalam pada itu Anwar menegaskan, konsep kenegaraan yang inklusif perlu diterapkan dengan memastikan bangunan warisan dimanfaatkan seluruh rakyat tanpa mengira latar belakang selain berfungsi sebagai ruang pembelajaran, pencerahan ilmu dan apresiasi seni budaya tempatan.Beliau turut memuji pelaksanaan kerja-kerja pemuliharaan yang dijalankan oleh Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) secara teliti dan profesional.Sebelum ini dalam pembentangan Belanjawan 2026, Anwar memaklumkan Khazanah memperuntukkan RM600 juta bagi kerja-kerja membaik pulih bangunan bersejarah Carcosa Seri Negara.Sementara itu, Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir berkata, pemuliharaan warisan di ibu negara bukan sahaja melibatkan Carcosa Seri Negara, malah merangkumi enam blok bangunan di Kompleks Bangunan Sultan Abdul Samad.Menurutnya, pelaburan di bawah inisiatif Warisan Kuala Lumpur (Warisan KL) itu bertujuan menggiatkan semula warisan ibu kota serta mentakrifkan semula peranannya sebagai hab budaya dan ekonomi."Matlamatnya jelas (untuk) mencipta nilai jangka panjang, mengukuhkan jati diri kebangsaan dan merancakkan pertumbuhan sektor pelancongan, rekreasi dan industri kreatif yang mempunyai pengganda ekonomi yang jelas," ujarnya.