Peguam diugut di media sosial: Polis tunggu laporan MCMC

SHAH ALAM - Polis masih menunggu laporan daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi mengesan profil individu yang dikatakan memuat naik ugutan di media sosial terhadap seorang peguam yang mewakili keluarga tiga lelaki dalam insiden tembakan di Melaka.Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, keterangan pengadu dan beberapa individu telah diambil pihak polis."Laporan oleh peguam terbabit telah diterima polis pada 5 Disember lalu dan kes diklasifikasi di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998."Kita telah memohon bantuan MCMC untuk mendapatkan profil individu yang membuat komen (ugutan) terbabit dan masih menunggu maklum balas," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini pada Isnin.Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat dilaporkan berkata siasatan mendapati peguam tersebut telah membaca satu komen daripada satu individu yang tidak dikenali menerusi hantaran di platform media sosial ketika berada di pejabatnya di Petaling Jaya.Komen yang mengandungi unsur ugutan bunuh tersebut dipercayai mempunyai kaitan dengan kes yang sedang dikendalikan peguam terbabit.Terdahulu, Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar dilaporkan berkata, ketiga-tiga suspek dikenali Geng DT ditembak mati selepas menetak seorang koperal yang cuba menahan mereka dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi, 24 November lalu.Siasatan mendapati suspek utama berusia 29 tahun memiliki 39 rekod lampau jenayah dan dadah selain turut dikehendaki polis, manakala seorang lagi mempunyai 12 rekod jenayah dan dadah.Kumpulan berkenaan dipercayai aktif melakukan jenayah samun bersenjata di Melaka, Negeri Sembilan dan Selangor dengan jumlah kerugian dianggarkan RM1.35 juta.Berikutan laporan keluarga suspek yang tidak berpuas hati dengan tindakan pihak berkuasa, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman mengambil alih siasatan kes tembakan itu pada 3 Disember.