SHAH ALAM - Keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) adalah selaras dengan kepentingan untuk menjaga dasar pendidikan negara dan perpaduan rakyat di Malaysia.Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Muhamad Hisham Marzuki berkata, ini kerana sijil berkenaan menggunakan kurikulum berbeza daripada sistem kebangsaan akan mewujudkan dualisme pendidikan, sekali gus berpotensi menjejaskan integrasi nasional.Menurutnya, sebarang usaha untuk mengiktiraf sistem pendidikan yang tidak menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama adalah bercanggah dengan roh Perlembagaan dan boleh menjejaskan usaha pembinaan negara bangsa."PPMM berpandangan bahawa sistem pendidikan adalah wadah paling penting untuk menyatukan rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama. Mengiktiraf UEC akan membuka ruang kepada pengasingan sosial dan budaya dalam kalangan generasi muda."Keputusan Perdana Menteri untuk tidak mengiktiraf UEC adalah langkah tepat demi memastikan perpaduan nasional terus menjadi agenda utama negara. PPMM menyeru agar semua pihak menghormati keputusan kerajaan ini dan tidak menjadikannya isu politik semata-mata, " katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.Menurutnya, kepentingan jangka panjang negara harus diutamakan berbanding kepentingan kelompok tertentu. Semua rakyat Malaysia perlu bersama-sama mendukung sistem pendidikan kebangsaan sebagai teras pembinaan negara bangsaAnwar pada Sabtu dilaporkan berkata, sebarang tuntutan yang menjurus kepada sensitiviti agama, bangsa dan kaum perlu mengambil kira kedudukan bahasa Melayu dalam Perlembagaan.Kontroversi mengenai UEC kembali hangat selepas Timbalan Pengerusi DAP, Nga Kor Ming dilaporkan berkata, bahawa parti itu akan berjumpa dengan Anwar berhubung pengiktirafan sijil berkenaan.Mengulas lanjut, Muhamad Hisham berkata, pihaknya berdiri teguh bersama kerajaan dalam memastikan Dasar Pendidikan Negara kekal berteraskan Perlembagaan, Rukun Negara dan aspirasi Perpaduan Nasional.Beliau menambah, keputusan untuk tidak mengiktiraf UEC juga adalah selaras dengan kepentingan negara.