SHAH ALAM - Tiada sebarang keterangan dan bukti setakat ini boleh mengesahkan dakwaan berhubung tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mengacukan senjata semasa melaksanakan tangkapan terhadap seorang ahli perniagaan, Albert Tei di kediamannya 28 November lalu.Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, perkara itu hasil siasatan awal selepas pihaknya merekod keterangan pihak berkaitan termasuk pasukan SPRM yang terlibat dalam operasi terbabit."Siasatan polis sehingga hari ini tidak terima bukti atau keterangan bagi mengesahkan dakwaan pengadu (isteri Albert) yang menyatakan anggota SPRM telah mengacukan senjata ke arahnya dan suami," katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor pads Isnin.Menurutnya, pihak polis turut menerima rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) dari kediaman terbabit serta rakaman telefon untuk disemak dan dianalisis oleh pihak forensik."Jumlah CCTV yang diterima tidak boleh didedahkan kerana siasatan masih berjalan."Ramai saksi juga telah dipanggil namun saya tidak boleh mendedahkan jumlahnya dengan pihak-pihak terlibat juga telah memberikan keterangan bagi membantu siasatan," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor pada Isnin.Beliau berkata, siasatan ketika ini dibuka di bawah Kertas Enkuiri Polis (KEP) bagi memastikan dakwaan tersebut disiasat secara telus dan profesional.Mengulas adakah kertas siasatan laporan palsu akan dibuka, Shazeli menjelaskan, perkara itu akan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara bagi mendapatkan nasihat serta arahan selanjutnya."Pada peringkat ini, adalah terlalu awal untuk menyatakan sama ada siasatan akan diklasifikasikan kepada tindakan lain."Siasatan masih diteruskan secara terperinci dan orang ramai dinasihatkan agar tidak menyebarkan spekulasi atau berita palsu berhubung kes tersebut. Masih banyak aspek dan keterangan yang perlu diambil serta diperhalusi," ujarnya.Menerusi laporan polis yang dibuat isteri Albert Tei pada 28 November itu, dia menyatakan bahawa SPRM telah membuat tangkapan terhadap suaminya di bawah Seksyen 16(A) Akta SPRM 2009.Isteri Albert juga mendakwa semasa operasi dijalankan salah seorang daripada anggota SPRM telah mengacukan senjata ke arahnya dan suami.Media sebelum itu melaporkan, pegawai SPRM yang menjalankan serbuan ke kediaman ahli perniagaan Albert Tei dilengkapi kamera badan termasuk alat rakaman.Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dilaporkan berkata, semua tindakan dijalankan mengikut prosedur undang-undang.