Sindiran Pemuda MIC untuk tutup kegagalan parti sendiri - Pemuda UMNO Bagan Datuk

IPOH - Pemuda UMNO Bahagian Bagan Datuk menyifatkan sindiran Pemuda MIC terhadap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sekadar mahu menutup kegagalan parti itu.Ketuanya, Muhammad Nabil Saleh berkata, kenyataan dibuat Ketua Pemuda MIC Kebangsaan, K Arvind yang menyerang Ahmad Zahid jelas bersifat emosional, tidak matang dan gagal memahami realiti politik semasa negara."Menuduh Presiden UMNO 'siang cakap lain, malam buat lain' hanyalah cubaan menutup kegagalan sendiri. Hakikatnya, keputusan UMNO menyertai Kerajaan Perpaduan bukan kerana mabuk kuasa tetapi kerana keberanian memikul tanggungjawab ketika negara berada di ambang ketidakstabilan."Jika slogan dijadikan ukuran maka politik tidak akan ke mana. Kepimpinan diukur melalui keupayaan membuat keputusan sukar demi rakyat, bukan dengan bermain sentimen lama," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.Muhammad Nabil berkata, MIC juga tidak wajar bercakap soal dipinggirkan sedangkan prestasi parti itu sendiri gagal menyakinkan masyarakat India dan rakyat keseluruhannya.Jelasnya, kesetiaan bukan lesen untuk menuntut kuasa tanpa sokongan dan bukan alasan untuk mengugut keluar masuk Barisan Nasional (BN) mengikut emosi semasa."Presiden UMNO tidak pernah meminggirkan rakan gabungan. Namun, BN bukan tempat untuk drama politik murahan. Jika ada pihak yang keliru arah, jangan jadikan Presiden UMNO sebagai kambing hitam."UMNO tidak mabuk kuasa, yang mabuk hanyalah mereka yang hilang arah," jelasnya lagi.Sementara itu, beliau menegaskan Pemuda UMNO Bahagian Bagan Datuk berdiri teguh mempertahankan kepimpinan parti dan tidak akan berdiam diri apabila Presiden UMNO diserang oleh mereka yang gagal memahami erti tanggungjawab dalam politik gabungan.Terdahulu, Sinar Harian melaporkan Pemuda MIC membidas kenyataan Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN berhubung status keanggotaan MIC dalam gabungan itu antaranya dengan mengingatkan parti berkenaan agar jangan 'siang cakap lain, malam pula cakap lain'.Arvind berkata jika benar soalnya adalah ‘siang cakap lain, malam cakap lain’, maka cermin paling dekat yang perlu dirujuk oleh Ahmad Zahid adalah kepimpinan UMNO itu sendiri.