PUTRAJAYA- Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan terus melaksanakan serta memperkukuh pelbagai inisiatif perlindungan kanak-kanak yang menyeluruh termasuk program kesedaran keselamatan dalam talian, penguatkuasaan perundangan berkaitan serta kerjasama strategik dan bersepadu.Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, langkah itu seiring dengan usaha Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan sokongan Polis Diraja Malaysia (PDRM), dalam memperkukuh kawal selia serta meningkatkan tahap keselamatan ruang digital di Malaysia."Pendekatan kolaboratif inipenting bagi memastikan langkah pencegahan, pengesanan awal dan perlindungan dapat dilaksanakan secara berkesan dan berterusan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.Tegasnya, langkah pengukuhan kawal selia digital amat signifikan dalam konteks perlindungan kanak-kanak, memandangkan mereka semakin terdedah kepada pelbagai risiko dalam talian termasuk eksploitasi seksual, penipuan,gangguan siber serta pendedahan kepada kandungan yang tidak sesuai dan berbahaya."Perlindungan kanak-kanak merupakan tanggungjawab bersama."Persekitaran digital yang lebih selamat bukan sahaja membantu melindungi kesejahteraan kanak-kanak malah memberikan keyakinan kepada ibu bapa dan keluarga dalam membimbing penggunaan teknologi secara lebih bertanggungjawab," jelas Nancy.Menurutnya, masyarakat digalakkan untuk tampil melaporkan sebarang kebimbangan atau kes berkaitan keselamatan kanak-kanak dan keluarga agar tindakan segera dapat diambil.Sebarang laporan katanya, boleh disalurkan melalui Talian Kasih 15999 atau WhatsApp 019-261 5999 yang beroperasi 24 jam bagi memastikan bantuan dan perlindungan disampaikan tanpa kelewatan."Usaha memperkukuh keselamatan ruang digital ini memerlukan kesedaran, kebersamaan dan komitmen berterusan daripada semua pihak demi memastikan kanak-kanak dapat membesar dalam persekitaran yang selamat, sejahtera dan terlindung selaras dengan hasrat kerajaan untuk memelihara kesejahteraan keluarga dan masyarakat secara menyeluruh," katanya.Mulai tahun depan, rakyat Malaysia di bawah umur 16 tahun akan dilarang daripada mewujudkan akaun media sosial yang merupakan sebahagian daripada usaha menyeluruh kerajaan untuk memperkukuh keselamatan dalam talian golongan bawah umur melalui peraturan pengesahan baharu.Usaha memperkukuh kawal selia ruang digital kini menjadi antara keutamaan kerajaan susulan peningkatan risiko keselamatan dalam talian, khususnya melibatkan kanak-kanak.Pelbagai pihak termasuk MCMC dan agensi penguat kuasa memberi tumpuan kepada pematuhan undang-undang oleh platform digital, kawalan kandungan berbahaya serta tanggungjawab penyedia perkhidmatan dalam memastikan persekitaran siber yang lebih selamat untuk pengguna.