Pemuliharaan Seri Negara amanah besar buat Khazanah Nasional

KUALA LUMPUR - Pemuliharaan Seri Negara merupakan suatu amanah besar yang cukup istimewa buat Khazanah Nasional Bhd, kata Pengarah Urusannya, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir.Beliau berkata, matlamat mereka bukan sekadar memulihkan sebuah bangunan tetapi untuk menghidupkan semula semangat dan kisah yang telah membentuk perjalanan sejarah negara.Katanya, Khazanah Nasional turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kerajaan atas kepercayaan untuk memulihara bangunan ikonik yang begitu penting dalam lipatan sejarah negara."Kami berharap agar Seri Negara akan terus berkembang menjadi ruang yang inklusif, mencetus inspirasi, dan sebuah tempat di mana rakyat Malaysia serta para pelancong dapat menghargai sejarah dan warisan negara," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merasmikan majlis penyempurnaan pemuliharaan Seri Negara serta pembukaan rasminya.Seri Negara merupakan salah satu bangunan paling bersejarah di Malaysia yang menjadi lokasi termeterainya Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1957, iaitu detik penting menuju kemerdekaan negara.Bangunan itu dibina pada 1896 oleh Sir Frank Swettenham, Residen-Jeneral British pertama di Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dan dijadikan kediaman rasmi beliau sejak 1904.Usaha pemuliharaan dan peremajaan Seri Negara diterajui oleh Khazanah Nasional sebagai sebahagian daripada program Dana Warisan.Di bawah inisiatif nasional Warisan KL, Khazanah telah diamanahkan untuk memelihara dan memperbaharui lapan bangunan bersejarah Malaysia yang penting, iaitu Seri Negara dan Carcosa di Bukit Carcosa, serta Kompleks Bangunan Sultan Abdul Samad (BSAS) yang merangkumi Bangunan Sultan Abdul Samad, Pejabat Pos Lama, bekas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Panggung Bandaraya, bekas Pejabat Ukur FMS dan Muzium Tekstil Negara.Selain itu, sebuah jambatan pejalan kaki yang menghubungkan Seri Negara dan Carcosa ke Taman Botani Perdana Kuala Lumpur juga akan dibina.Menerusi pembentangan Belanjawan 2026, Perdana Menteri memaklumkan, Khazanah Nasional memperuntukkan RM600 juta bagi kerja-kerja membaik pulih Seri Negara.Amirul Feisal berkata, pelaburan ini sejajar dengan strategi domestik Khazanah yang bertujuan memperkukuh ketersambungan dan memperkukuh kedudukan Kuala Lumpur sebagai hab ekonomi dan budaya yang dinamik dan rancak bagi menjana nilai jangka panjang, memperkasa jati diri nasional serta merancakkan pertumbuhan sektor pelancongan, rekreasi dan industri kreatif tempatan.Katanya, sektor pelancongan berupaya menjana kesan pengganda lebih dua kali ganda dalam merangsang ekonomi tempatan."Seri Negara hanyalah titik permulaan. Khazanah akan terus bekerjasama rapat bersama agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan, dan rakan strategik untuk menghidupkan semula bangunan-bangunan yang telah dipulihara ini sebagai ruang budaya awam, perantaraan pendidikan, dan simbol kebangsaan untuk generasi akan datang," katanya.Kerja pemulihan Seri Negara yang dilaksanakan dalam tempoh masa 10 bulan mengekalkan ciri-ciri asal seni bina bangunan tersebut, di samping meningkatkan aspek keselamatan, kebolehcapaian, dan kemudahan awam bagi memastikan semua lapisan masyarakat dapat berkunjung, mengalami serta menghayati semula warisan negara.Seri Negara akan menempatkan Galeri Seri Negara yang meraikan perjalanan negara menuju kemerdekaan dan bertujuan mendidik orang ramai mengenai tempoh bermakna dalam sejarah Malaysia.Turut disediakan ialah sebuah kafe dan restoran dikendalikan oleh Serai Group, menawarkan pengalaman menjamu selera yang bernostalgia, mencerminkan keindahan warisan Seri Negara di samping meraikan kepelbagaian hidangan terbaik Malaysia.Semuka Cafe kini dibuka kepada orang awam manakala Serai House akan dibuka secara tempahan sahaja buat sementara waktu.Sebagai bangunan berstatus Warisan Negara, pengunjung perlu mendaftar melalui program Sahabat Seri Negara untuk melawat Galeri Seri Negara.Pendaftaran boleh dibuat melalui www.serinegara.com.my dan pengunjung boleh memilih slot masa yang diingini.Para pendaftar akan menerima maklumat lanjut mengenai cara menempah slot lawatan serta menyertai program yang bakal diperkenalkan.