PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) masih menaruh keyakinan penuh terhadap Rexy Mainaky untuk terus memacu pembangunan beregu negara, meskipun jurulatih berpengalaman itu sedia memikul tanggungjawab susulan kegagalan mencapai sasaran emas di Sukan SEA Thailand 2025.Presiden BAM, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berpandangan penilaian terhadap peranan Pengarah Kejurulatihan Beregu tidak wajar dibuat berpaksikan satu kejohanan, sebaliknya perlu dilihat melalui hasil pembangunan menyeluruh yang dicapai sepanjang tahun.Beliau menyifatkan pengalaman serta falsafah yang dibawa Rexy masih relevan dan penting, khususnya dalam memastikan kesinambungan kejayaan badminton negara pada peringkat dunia.Tengku Zafrul turut mengimbas pencapaian utama tahun ini termasuk kejayaan Malaysia muncul juara dunia beregu campuran serta sejarah baharu apabila beregu wanita mara ke final Kejohanan Dunia buat kali pertama, yang dianggap sebagai indikator kemajuan program sedia ada.Menurutnya, kempen Sukan SEA wajar dijadikan medan pembelajaran untuk memperhalusi kelemahan bukan penamat kepada usaha pembangunan, malah menjadi asas kepada lonjakan prestasi lebih matang pada masa hadapan."Prestasi di Thailand adalah tanggungjawab kolektif melibatkan pemain, barisan kejurulatihan dan kepimpinan BAM dengan prinsip bahawa kejayaan dan kegagalan perlu ditanggung bersama sebagai satu pasukan."Walaupun sasaran empat pingat emas tidak tercapai, skuad badminton negara tetap memperlihatkan perkembangan positif dengan kutipan keseluruhan sembilan pingat, melepasi sasaran awal tujuh pingat."Lebih bermakna, kita kembali meraih pingat dalam acara perseorangan wanita selepas enam tahun, satu pencapaian yang memberi isyarat positif terhadap hala tuju pembangunan bakat," katanya.Kem badminton negara menamatkan Sukan SEA Thailand 2025 dengan satu emas, dua perak dan enam gangsa.Pingat emas tunggal disumbangkan oleh beregu wanita utama, Pearly Tan-M Thinaah sekali gus menamatkan penantian sedekad Malaysia dalam acara itu.Sebelum ini, Rexy secara terbuka menyatakan kesediaannya menerima sebarang keputusan termasuk melepaskan jawatan, susulan kegagalan mencapai sasaran emas yang ditetapkan, memandangkan Sukan SEA mempunyai nilai dan prestij tersendiri dalam kalendar sukan serantau.