KUALA LUMPUR - Inisiatif Peruntukan Deeming yang diperkenalkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) pada Isnin mampu tangani ancaman jenayah eksploitasi seksual kanak-kanak serta pelbagai ancaman lain.Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, pihaknya menyambut baik inisiatif MCMC itu."Ekosistem digital kini menuntut pendekatan pengawalseliaan yang lebih responsif bagi menangani ancaman seperti jenayah eksploitasi seksual kanak-kanak, penipuan dalam talian, penyebaran kandungan ekstremisme dan penyalahgunaan platform digital."Usaha ini adalah sebahagian daripada komitmen bersama untuk melindungi anak bangsa Malaysia dan memastikan mereka selamat dalam persekitaran siber masa hadapan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.Mohd Khalid berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan MCMC dan agensi lain melalui pendekatan 'whole-of-government' bagi memastikan mekanisme baharu yang sedang dimuktamadkan dapat meningkatkan keberkesanan siasatan."Selain itu, memperkukuh perkongsian maklumat, serta mempercepatkan tindakan terhadap kandungan atau aktiviti berbahaya di ruang digital," katanya.Beliau berkata, polis komited melaksanakan penguatkuasaan mengikut peruntukan undang-undang semasa dan meningkatkan kesiapsiagaan dalaman bagi memastikan kerangka keselamatan digital yang bakal diperkenalkan dapat disokong dengan berkesan."Kita yakin bahawa pelaksanaan rangka kerja baharu ini akan meningkatkan perlindungan kepada rakyat, memantapkan integriti ruang digital negara dan memperkukuh kerjasama antara kerajaan serta penyedia platform digital."Langkah ini turut menjadi asas penting dalam memastikan keselamatan generasi masa hadapan terutama kanak-kanak dan keluarga terjamin dalam landskap siber yang semakin mencabar," katanya.Terdahulu media melaporkan semua penyedia perkhidmatan pesanan internet dan media sosial yang mempunyai lapan juta atau lebih pengguna di Malaysia akan secara automatik dianggap berdaftar sebagai pemegang Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi [ASP(C)] bermula 1 Januari 2026, melalui pelaksanaan Peruntukan Deeming di bawah Seksyen 46A Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.MCMC memaklumkan langkah itu bertujuan memastikan penyedia perkhidmatan berskala besar yang menawarkan perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial kepada pengguna di Malaysia beroperasi dalam kerangka undang-undang serta kawal selia negara secara teratur, konsisten dan berkesan.Pendekatan itu juga selaras dengan kerangka pelesenan penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial yang dikuatkuasakan pada 1 Januari lalu, bagi mengukuhkan akauntabiliti serta pematuhan terhadap undang-undang Malaysia.