Sorok Porsche, BMW tidak bercukai dalam gudang

PELABUHAN KLANG - Porsche 911 Turbo S dan BMW 420i M antara lima kenderaan mewah bernilai kira-kira RM1 juta disita selepas dikesan disorok dalam gudang di sini tanpa membayar duti dan cukai.Tindakan itu dikesan Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Selangor menerusi dua serbuan berasingan pada 17 dan 27 Oktober lepas.Pengarah Kastam Selangor, Mohamad Azhar Ahmad Paharazi berkata, serbuan pertama bertindak menyita tiga kenderaan import jenis Toyota Granace, Porsche 911 Turbo S dan BMW 420i M.Menurutnya, siasatan awal mendapati kenderaan itu telah melebihi tempoh penyimpanan yang dibenarkan di gudang berlesen selain gagal membayar duti serta cukai."Kes kedua melibatkan rampasan dua kenderaan elektrik jenis Dongfeng Forthing yang dipercayai tidak mempunyai permit import serta disimpan di dalam gudang zon bebas, Pelabuhan Klang."Siasatan awal mendapati kenderaan itu dibawa masuk oleh dua syarikat kenderaan terpakai," katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Kastam Selangor di sini pada Isnin.Tambah Azhar, pihaknya juga telah merekod keterangan dua pemilik syarikat terbabit untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 bagi kenderaan petrol, manakala Seksyen 135(1)(a) akta sama bagi kenderaan elektrik.Dalam kes berlainan, empat kontena dengan muatan 108,874 kilogram gelung keluli bernilai RM909,642 termasuk duti dan cukai dirampas JKDM Selangor pada 22 Oktober lalu di Zon Bebas Pelabuhan Utara di sini.Tambahnya, dipercayai 28 gelung keluli itu diimport tanpa permit import yang dikeluarkan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) sebagaimana digariskan di bawah Butiran 5, Bahagian III Jadual Kedua Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023."Kita mengesan pengimport membuat pengikraran tidak benar di dalam Borang Kastam 1 bagi mengelak keperluan permit import," ujarnya.