Peruntukan Deeming cerminkan prinsip akauntabiliti

PUTRAJAYA- Inisatif Peruntukan Deeming mencerminkan prinsip akauntabiliti yang menjadi teras kepada Akta 866 iaitu memastikan penyedia perkhidmatan mempunyai tanggungjawab jelas terhadap keselamatan pengguna bagi melindungi golongan rentan khususnya kanak-kanak daripada kemudaratan dalam talian seperti buli siber, penipuan kewangan, eksploitasi dan penyebaran kandungan memudaratkan.Bahagian Hal Ehwal UndangUndang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU, JPM) berkata, langkah itu adalah signifikan bagi melengkapkan pelaksanaan dan memperkukuh matlamat utama Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (Akta 866) dengan memastikan penyedia perkhidmatan beroperasi secara teratur di bawah kerangka kawal selia negara tanpa menjejaskan kesinambungan operasi platform global."Inisiatif itu juga dilaksanakan dengan mengambil kira keseimbangan antara keselamatan dalam talian dan kebebasan bersuara," katanya dalam kenyataan pada Isnin.Ujar BHEUU, pihaknya akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi Malaysia (MCMC), kementerian dan agensi yang berkaitan serta pihak berkepentingan untuk memastikan pelaksanaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 berjalan secara berfasa, telus dan berkesan, termasuk melalui mekanisme Jawatankuasa Keselamatan Dalam Talian seliaan bahagian itu yang dtubuhkan di bawah akta tersebut."Kerajaan kekal komited untuk membina ekosistem digital yang selamat, beretika dan bertanggungjawab di samping memastikan kemajuan teknologi dimanfaatkan tanpa mengorbankan keselamatan, kesejahteraan dan kepentingan awam rakyat," jelas BHEUU.Terdahulu, MCMC mengumumkan semua penyedia perkhidmatan pesanan internet dan media sosial yang mempunyai 8 juta atau lebih pengguna di Malaysia akan secara automatik dianggap berdaftar sebagai pemegang Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi [ASP(C)] bermula 1 Januari 2026, melalui pelaksanaan Peruntukan Deeming di bawah Seksyen 46A Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.Langkah itu bertujuan memastikan penyedia perkhidmatan berskala besar yang menawarkan perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial kepada pengguna di Malaysia beroperasi dalam kerangka undang-undang serta kawal selia negara secara teratur, konsisten dan berkesan.