Atomy Malaysia gagal saman fitnah terhadap Firdaus Wong isu kristianisasi

KUALA LUMPUR – Atomy Malaysia Sdn Bhd gagal dalam saman fitnah terhadap penceramah bebas, Firdaus Wong, di Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin, berkaitan dakwaan bahawa syarikat itu terlibat dalam kegiatan kristianisasi pada 2020 dan 2021.Pesuruhjaya Kehakiman, Arziah Mohamed Apandi memutuskan demikian selepas menolak saman yang difailkan syarikat itu selaku plaintif terhadap Firdaus Wong atau nama sebenarnya Firdaus Wong Wai Hung, sebagai defendan.Sebelum ini, plaintif yang mempunyai 1.6 juta ahli, merangkumi 960,000 pengguna dan 640,000 pengedar, memfailkan saman terhadap Firdaus, 42, atas dakwaan beliau membuat enam hantaran berunsur fitnah.Plaintif mendakwa kenyataan defendan merujuknya sebagai sebuah syarikat Kristian yang berpegang kepada fahaman ekstremisme agama serta menggalakkan penganutan Kristianisasi di Malaysia menerusi slogan ‘Business as a Mission’.Syarikat itu juga mendakwa kenyataan pencemaran tersebut membawa maksud yang jelas untuk mengaitkan plaintif dengan amalan penyebaran Kristianisasi melalui perniagaan kepada komuniti dan pengguna di negara ini.Sementara itu, peguam Firdaus Wong, Syahidah Hanum Mohd Ghazali berkata, susulan kekalahan saman berkenaan, mahkamah memerintahkan syarikat itu membayar kos sebanyak RM70,000 kepada anak guamnya."Mahkamah mendapati terdapat keterangan kukuh bahawa aktiviti kristianisasi dijalankan oleh Atomy Co Ltd dari Korea Selatan yang mengawal sepenuhnya Atomy Malaysia."Keputusan mahkamah memberi indikasi bahawa, kenyataan yang dibuat anak guam berhubung aktiviti yang dibuat syarikat Atomy Co Ltd itu, bukan bersifat fitnah," katanya yang hadir bersama peguam, Norazali Nordin.Katanya, mahkamah memutuskan defendan berjaya membuktikan pembelaan justifikasi serta komentar berpatutan.Sehubungan itu beliau berkata, mahkamah menolak keseluruhan tuntutan yang dikemukakan oleh plaintif dan memutuskan kemenangan berpihak kepada defendan.Berdasarkan dokumen diperoleh, plaintif merupakan sebuah syarikat pemasaran pelbagai peringkat (multi-level marketing) yang terlibat dalam perniagaan dalam talian bagi produk kosmetik, kesihatan dan barangan isi rumah menggunakan jenama ‘Atomy’.Defendan pula merupakan pengasas sebuah badan bukan kerajaan (NGO) dikenali sebagai Multiracial Reverted Muslims (MRM) yang sering membincangkan isu sensitif dan kontroversi berkaitan agama menerusi platform Facebook.Plaintif turut mendakwa defendan memuat naik sebuah video di Facebook rasminya pada 30 Disember 2020 yang menerima sekurang-kurangnya 29,000 tanda suka, 861 komen serta 3,900 perkongsian.Defendan kemudiannya membuat lima kenyataan susulan antara 13 hingga 21 Januari serta pada 30 Mac 2021.Dalam pada itu, menerusi satu hantaran di Facebook, Firdaus Wong menzahirkan kesyukuran dan menyifatkan keputusan berkenaan sebagai kemenangan umat Islam di negara ini."Alhamdulillah, Allahuakbar, kami menang saman fitnah oleh Atomy Malaysia."Mahkamah memutuskan Atomy Co Ltd Korea memang melakukan aktiviti kristianisasi," katanya.Beliau turut mengucapkan syukur atas perintah mahkamah yang mewajibkan syarikat berkenaan membayar kos, selain berterima kasih kepada semua pihak yang mendoakannya.Menurutnya, injunksi yang melarang beliau bercakap atau menulis mengenai Atomy turut dibatalkan oleh mahkamah.Justeru katanya, lebih banyak pendedahan akan dibuat berhubung perkara yang dibangkitkan dalam perbicaraan berdasarkan keterangan saksi-saksi.