Pemuda bangkit buat lebih 30 penghantaran sehari selepas kemalangan ngeri hampir ragut nyawa

SHAH ALAM - Seorang anak muda dari Kertih, Kemaman tidak patah semangat walaupun berdepan ujian berat hingga hampir meragut nyawa dan kehilangan tangan kiri akibat kemalangan jalan raya kira-kira lapan tahun lepas.Penghantar makanan, Ahmad Nabil Rosli, 26, walaupun berdepan cabaran fizikal, dia tetap berusaha memberikan komitmen penuh dalam kerjaya sebagai 'rider' sehingga mampu melakukan antara 30 hingga 50 penghantaran sehari."Selalu saya buat dalam 30 order. Alhamdulillah, saya pernah juga pecah rekod dalam masa sehari bekerja. Dalam sehari saya pernah buat hampir 50 penghantaran."Memang bermula dari pagi sampai malam sebab kerja sebagai 'rider' ini ada pasang surutnya. Jadi, apabila ada hari ada rezeki dan tempahan makin lama makin rancak, saya terima sahaja," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.Ahmad Nabil berkongsi rutin hariannya sebagai penghantar makanan melalui akaun Tik Tok @King Of One Hand dan ketabahan hidupnya memberi inspirasi kepada orang ramai.Menurutnya yang menunggang motosikal dan menghantar makanan menggunakan sebelah tangan, peningkatan jumlah penghantaran itu berlaku hasil disiplin bekerja serta kesungguhan melayan setiap pesanan yang diterima.Ahmad Nabil berkata, sebelum ini jumlah tertinggi penghantaran yang pernah direkodkan adalah sekitar 45 pesanan sehari, sebelum berjaya memecahkan rekod sendiri."Saya pernah fikir boleh ke nak capai 50 tempahan sehari, mungkin ada dan Alhamdulillah, rezeki masa itu memang betul-betul ada," ujarnya lagi.Ahmad Nabil memaklumkan memilih untuk terus positif dengan sebarang dugaan diterima dan menjadikan pengalaman itu sebagai motivasi untuk bekerja lebih gigih."Siapa yang tidak nangis waktu itu, namun ramai yang baik hati dan memahami, malah mereka memberi kata-kata semangat kepada saya. Alhamdulillah," tambahnya.Dia kini tidak lagi memakai tangan palsu ketika menghantar makanan berikutan penggunaan yang kerap menyebabkan rasa sakit pada bahagian saraf di bahu.Kongsi pemuda itu lagi, kemalangan motosikal pada 2017 menyebabkan dirinya mengalami kecederaan serius sehingga koma dan hampir kehilangan nyawa.Menurutnya, motosikal yang ditunggangi diseret di tengah jalan sebelum terbakar, manakala jantungnya dilaporkan terhenti selama kira-kira setengah jam ketika menerima rawatan kecemasan."Waktu itu ayah beritahu jantung saya terhenti setengah jam dan doktor buat macam-macam usaha untuk selamatkan saya. Masa itu memang kritikal," katanya.Oleh yang demikian, anak kedua dari enam adik beradik menganggap kejadian itu sebagai peluang kedua untuk terus hidup selepas kembali sedar dan menerima rawatan intensif.Mengulas sokongan diterima, pemuda itu memberitahu, kekuatan untuk bangkit datang daripada ibu, Norsyam Zakaria, 56, dan bapa, Rosli Awang, 56, adik-beradik serta rakan-rakan baik khususnya Aslah Azman, 28, yang tidak pernah putus memberikan dorongan kepadanya.Menurutnya, sokongan moral berterusan itulah memberi kekuatan untuk kembali bekerja dan berdikari walaupun berdepan kekangan fizikal.Tambahnya, rutin seharian kerjanya dikongsikan melalui media sosial demi memberi memberi inspirasi dan semangat kepada orang ramai, sekali gus menyampaikan mesej supaya tidak berputus asa dengan dugaan hidup.