Azlan Al Amin nafi tohmahan dirinya scammer

SHAH ALAM - Usahawan hartanah, Datuk Mohamad Azlan Abdullah @ Ali menafikan tohmahan kononnya beliau seorang scammer dan mendakwa tuduhan itu dilemparkan ekoran proses pemulangan wang pembatalan pembelian tanah yang sedikit mengambil masa.Beliau yang lebih dikenali sebagai Azlan Al Amin berkata, proses pemulangan wang kadangkala memakan masa apabila syarikatnya terpaksa mencairkan aset atau menjual lot tanah lain terlebih dahulu."Tohmahan yang mengatakan saya scammer adalah tidak betul dan tidak berasas. Perkara sebenarnya saya menjalankan perniagaan jual beli hartanah lot secara ansuran bulanan tanpa faedah."Saya perkenalkan kaedah jual beli ansuran ini kerana kebanyakan yang beli tanah dengan saya adalah golongan berpendapatan rendah. Apa yang istimewanya dalam perjanjian jual beli ini, mereka dibenarkan membatalkan pembelian kalau tidak mampu untuk terus bayar ansuran dan wang yang sudah dibayar tidak hangus, sebaliknya akan dikembalikan."Cuma apabila ramai yang buat pembatalan disebabkan ketidakmampuan untuk terus bayar ansuran tanah dan dalam sesetengah kes saya lewat bayar balik wang mereka kerana kadang-kadang saya kena cairkan aset atau perlu jual tanah tertentu dahulu. Apabila mereka tidak sabar maka mulalah timbul persepsi ‘Azlan lambat bayar’, ‘ini scammer’, walhal tidak begitu," katanya kepada Sinar Harian.Bagaimanapun, beliau tidak menyalahkan pembeli yang tidak sabar menerima wang semula kerana berkemungkinan mereka mempunyai komitmen lain, berdepan masalah seperti perniagaan gagal dan terdesak untuk menggunakan wang.Konsep jual beli tanah secara ansuran yang diperkenalkan Mohamad Azlan itu bukan sahaja untuk membantu mereka yang tidak mampu membayar secara tunai dalam amaun yang besar malah, menolong golongan yang tiada slip gaji atau peniaga kecil-kecilan bagi membeli hartanah melalui pembiayaan bank.Katanya, setakat ini ramai pembeli yang membuat pembatalan telah menerima wang masing- masing selain ada yang masih di dalam proses untuk diselesaikan."Semuanya berjalan sebagaimana perjanjian yang dibuat, saya juga memang ada maklumkan jika berlaku kelewatan," katanya.Mengulas lanjut, Mohamad Azlan turut mendakwa wujud campur tangan pihak tertentu yang sengaja memburukkan namanya di media sosial demi kepentingan perniagaan masing-masing."Tohmahan bahawa saya scammer kebanyakannya datang daripada segelintir pesaing saya dalam bidang hartanah yang mana mereka dikesan mengupah cybertrooper, membuat akaun palsu serta menulis perkara-perkara buruk tentang saya."Naratif negatif tentang saya ini kemudian disebarkan di media sosial untuk menimbulkan keraguan, kegusaran dan kebimbangan di kalangan pembeli tanah atau netizen."Apabila saya dapat kesan identiti sebenar mereka, saya ambil tindakan saman fitnah dan setakat ini ada yang saya dah menang kes selain ada juga yang masih dalam proses mahkamah," dakwanya lagi.Mohamad Azlan memberitahu, terdapat sesetengah pembeli yang termakan hasutan membuat laporan polis kononnya beliau menipu dalam urusan jual beli hartanah dan pihak berkuasa menyiasat kes itu di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.Bagaimanapun, katanya, selepas siasatan dilakukan pihak berkuasa, kebanyakan kes yang dilaporkan dikategorikan sebagai kes sivil, tiada tindakan lanjut (NFA) dan tidak mempunyai sebarang unsur penipuan."Ini kerana tanah yang dijual beli itu ada. Jadi kepada siapa yang mendakwa saya jual tanah tidak wujud, ia tak betul. Surat perjanjian juga ada, ia ditandatangani oleh saya selaku penjual dan ada tanda tangan pembeli."Pembeli juga sudah baca dahulu surat perjanjian tersebut dan selepas berpuas hati, baru mereka tanda tangan. Kalau tanah yang dibeli itu tidak wujud dan saya pula tak dapat dikesan di mana berada, itu baru ada unsur penipuan," ujarnya.Selain itu, Mohamad Azlan berkata, beliau tidak pernah menyembunyikan diri.Malah di Facebook dan TikTok, beliau aktif berkongsi dirinya berhadapan dengan masyarakat seperti biasa.Justeru, beliau menasihatkan orang ramai supaya meneliti dan menyemak dahulu semua maklumat atau tuduhan yang disebarkan di dalam media sosial sebelum mempercayainya.