SHAH ALAM - Keputusan Barisan Nasional (BN) menyertai Kerajaan Perpaduan selepas pilihan raya bukan atas kehendak mana-mana individu, sebaliknya berlaku susulan titah Yang di-Pertuan Agong selepas negara berdepan situasi Parlimen tergantung.Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng, Datuk Mohd Asna Amin berkata, pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), BN hanya memenangi 30 kerusi dan bersedia menjadi pembangkang. Namun, tiada parti memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan, justeru Yang di-Pertuan Agong ketika itu menitahkan pembentukan Kerajaan Perpaduan demi kestabilan negara.Beliau menjelaskan, daripada 20 parti politik yang mempunyai wakil di Parlimen, sebanyak 18 parti bersetuju menyahut titah Yang di-Pertuan Agong, manakala hanya dua parti iaitu Pas dan Bersatu menolak penyertaan dalam Kerajaan Perpaduan."Penyertaan UMNO dan BN dalam Kerajaan Perpaduan bersama Pakatan Harapan (PH) termasuk DAP adalah demi kepentingan negara dan berlandaskan prinsip Perlembagaan Persekutuan, bukannya pengkhianatan kepada prinsip parti," katanya dalam kenyataan pada Selasa.Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai tindakan Ketua Pemuda MIC, K Arvind, yang menyindir Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, sebagai ‘mabuk kuasa’.Mengulas lanjut, Mohd Asna mengakui slogan ‘No DAP, No Anwar, No Bersatu’ merupakan pendirian BN sebelum PRU15 dan ia telah ditunaikan apabila BN bergerak secara solo tanpa bekerjasama dengan mana-mana parti pada pilihan raya tersebut."Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, sendiri menyatakan komitmen kepimpinan baharu DAP untuk mempertahankan Islam sebagai agama Persekutuan, kedudukan orang Melayu, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan serta institusi Raja-Raja Melayu," katanya.Timbalan Speaker DUN Negeri Sembilan itu turut membandingkan situasi tersebut dengan pembentukan kerajaan negeri Sabah apabila Gabungan Rakyat Sabah (GRS) gagal memperoleh majoriti mudah dan BN menyertai kerajaan negeri bagi memastikan kestabilan pentadbiran."Asasnya sama, iaitu kerajaan yang stabil memerlukan majoriti selesa bagi meluluskan rang undang-undang dan melaksanakan dasar tanpa gangguan politik berpanjangan," katanya.Mohd Asna turut mempersoalkan pendirian Pemuda MIC yang didakwa sering memanipulasi kenyataan Pengerusi BN, termasuk isu pendirian ‘No Bersatu’ yang kekal konsisten sehingga hari ini."Sepatutnya MIC memberi tumpuan kepada usaha membina semula parti, memperkukuh organisasi dan mendekati akar umbi, bukannya menyerang rakan dalam komponen BN atau menghina pimpinan sendiri," ujarnya.Menurutnya, tindakan biadab terhadap Pengerusi BN boleh menjejaskan keharmonian dalam gabungan itu dan wajar diambil tindakan tegas demi menjaga kerukunan parti.