‘Biar mahkamah putuskan keabsahan UEC’ - Pakar pendidikan

SHAH ALAM - Membawa keabsahan isu Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) ke mahkamah adalah langkah paling terbaik untuk menuntaskan polemik yang melanda negara ketika ini.Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia dari Universiti Kebangsaan Malaysia (MINDA UKM), Dr Anuar Ahmad berkata, perdebatan dan perbincangan perlu diselesaikan melalui ruang pengadilan kerana ia berkaitan tafsiran kedudukan UEC dalam Perlembagaan Persekutuan, Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) serta Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67.Menurut pakar pendidikan itu, menerusi ruang mahkamah sahaja boleh menentukan keputusan sama ada UEC sesuai, layak diiktiraf atau boleh digazetkan ke dalam sistem pendidikan negara daripada ia dijadikan topik perbincangan umum hingga membuatkan rakyat berdebat sesama sendiri tanpa asas jelas mengenai perundangan."Kalau dilihat dari sudut perbincangan, kita bukan bercakap soal kualiti UEC dan sebagainya kerana ia boleh ditambah baik. Isu sekarang adalah status UEC dalam Perlembagaan Persekutuan."Adakah jika mahu diiktiraf UEC telah memenuhi syarat-syarat yang disebut sebagai mematuhi kehendak Perlembagaan Persekutuan, Akta 550 dan juga Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67?"Mengikut pengalaman lepas, isu sekolah vernakular atau sekolah jenis kebangsaan (SJK) telah dibawa ke mahkamah dan pada 2023 diputuskan ia memenuhi peruntukan perlembagaan serta sah sebagai sistem pendidikan. Kita (masyarakat) kena terimalah."Jadi, mengapa untuk UEC kita tak boleh buat perkara sama? (bawa ke muka pengadilan) supaya akhirnya itu menjadi penyelesaian tuntas?" katanya.Anuar berpandangan, isu sekolah vernakular tidak lagi menjadi perdebatan ramai kerana masyarakat akur dengan kebijaksanaan mahkamah.Tambah beliau, semuanya menerima bahawa Perlembagaan Persekutuan tidak menghalang kewujudan sekolah vernakular kerana ia selari dengan peruntukan.Jumaat lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan bahawa sebarang tuntutan yang menjurus kepada sensitiviti agama, bangsa dan kaum perlu mengambil kira kedudukan bahasa kebangsaan dalam Perlembagaan.Anwar menegaskan, prinsip yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan berhubung kedudukan bahasa Melayu akan terus didukung dan dipertahankan.