ONSA benteng sekat kandungan mudarat

CYBERJAYA - Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA) yang bakal berkuat kuasa Januari ini bertujuan memastikan kandungan mudarat, termasuk bahan penderaan seksual kanak-kanak (CSAM), tidak dipaparkan kepada semua pengguna terutamanya golongan bawah umur.Timbalan Pengarah Urusan (Pembangunan) Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Eneng Faridah Iskandar menegaskan penyedia perkhidmatan berlesen kini mempunyai obligasi jelas untuk bertindak pantas dalam mengesan dan menyekat kandungan sedemikian."Untuk melindungi pengguna paling muda dan keluarga di Malaysia, penyedia perkhidmatan mesti mengklasifikasikan CSAM sebagai kandungan memudaratkan keutamaan dan memastikan pengesanan serta tindak balas berlaku dengan segera," katanya.Beliau menekankan bahawa tanggungjawab ini menandakan perubahan besar dalam industri teknologi yang sebelum ini lebih bergantung dengan laporan pengguna selepas kandungan tular."Berdasarkan kajian kami, satu daripada 25 kanak-kanak di negara ini pernah mengalami insiden berkaitan seksual dan intimidasi dalam talian. Perkara ini sangat membimbangkan," jelasnya sambil menegaskan kepentingan langkah proaktif.Di bawah akta tersebut, Eneng berkata, penyedia platform perlu mengesan, menyekat dan memadam kandungan memudaratkan secara proaktif tanpa menunggu laporan pengguna.Perubahan itu sekali gus meletakkan tanggungjawab keselamatan bukan lagi individu semata-mata tetapi pada penyedia perkhidmatan yang mempunyai kapasiti teknikal."Platform perlu diselenggara dengan keselamatan sebagai prioriti utama, bukan hanya dari sudut komersial. Mereka mesti memastikan platform bebas daripada kandungan memudaratkan," katanya.Jelas beliau, ONSA turut mewajibkan pelaporan dan dokumentasi terperinci daripada penyedia platform demi memastikan tindakan bukan sekadar pengesahan kosong.Menurutnya, peruntukan itu juga telah mengubah pendekatan lama industri daripada trust me kepada show me yang menuntut platform menunjukkan komitmen sebenar terhadap keselamatan kanak-kanak.Elemen kemanusiaan sebagai asas tindakanEneng menambah, teknologi canggih seperti kecerdasan buatan (AI) dan moderasi automatik hanya bermakna jika digunakan mengikut kewajipan undang-undang yang jelas."Melalui ONSA, semua teknologi yang digunakan platform kini mempunyai arah jelas iaitu mencegah kandungan memudaratkan sebelum ia mencapai kanak-kanak yang tidak berdaya mempertahankan diri," katanya.Akta itu turut mengangkat elemen kemanusiaan sebagai asas tindakan.Setiap kandungan CSAM bukan sekadar fail digital sahaja tetapi mewakili seorang mangsa yang trauma mereka berulang setiap kali bahan itu dikongsi."Kita bercakap mengenai kanak-kanak dan setiap keputusan tidak boleh salah," katanya.Beliau menjelaskan bahawa ONSA tidak bertujuan menyekat kebebasan tetapi memastikan ruang digital bebas daripada eksploitasi terhadap kanak-kanak.Mengulas mengenai tindakan yang perlu dilakukan sekiranya pengguna masih lagi menerima sembilan kategori kandungan memudaratkan, termasuk CSAM, penipuan, hasutan kebencian, keganasan, pengedaran dadah, radikalisme, kandungan mengeksploitasi golongan rentan, maklumat salah dan aktiviti haram, Eneng berkata, individu tersebut mestilah melaporkannya atau membuat aduan kepada penyedia platform."Penyedia platform perlu memberi maklum balas setiap aduan yang dikemukakan dan MCMC sedang meneliti garis masa yang munasabah untuk penyedia platform menjawab aduan," katanya.