SHAH ALAM – Kegiatan sindiket pemalsuan cap keselamatan imigresen yang berselindung di sebalik perniagaan menjual kek terbongkar apabila Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor menumpaskan operasi haram itu dalam satu serbuan khas di sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Sri Andalas, Klang pada Isnin.Sindiket berkenaan dikesan menggunakan modus operandi menyamar sebagai pengusaha perniagaan makanan dari rumah bagi mengaburi pihak berkuasa dan kejiranan.Namun serbuan dijalankan membongkarkan kegiatan pemalsuan dokumen perjalanan melibatkan warga asing yang dijalankan di kediaman terbabit.Lebih mengejutkan, sindiket turut didapati menggunakan peluntur untuk menghapuskan cap lama sebelum menampalnya dengan cap palsu yang baharu.Pengarah JIM Selangor, Khairrul Aminus Kamaruddin berkata, serbuan dijalankan menerusi Ops Serkap oleh Bahagian Penguat Kuasa JIM Selangor hasil risikan kira-kira dua minggu."Hasil pemantauan mendapati, rumah terbabit bukan sahaja digunakan sebagai tempat tinggal, malah dijadikan pusat pemalsuan cap keselamatan imigresen."Pasukan risikan khas mengenal pasti premis itu didiami seorang lelaki dan dua wanita, kesemuanya warganegara Vietnam," katanya dalam sidang akhbar di Pejabat JIM Selangor di sini pada Selasa.Katanya, serbuan berkenaan berjaya menumpaskan satu sindiket yang disyaki aktif dalam kegiatan pemalsuan cap Pas Lawatan Sosial bagi membolehkan warga asing tinggal lebih lama di negara ini secara tidak sah."Hasil penggeledahan menemukan tujuh naskhah pasport warganegara Vietnam, tiga cap keselamatan yang disyaki palsu, lapan telefon bimbit pelbagai jenama serta wang tunai RM2,150."Turut disita sebuah kenderaan jenis Subaru XV berwarna putih yang dipercayai digunakan bagi tujuan pergerakan sindiket," katanya.Menurutnya, sindiket itu dipercayai telah beroperasi sejak kira-kira dua tahun lalu dan menjadikan perniagaan penghantaran makanan sebagai helah bagi mengelak dikesan pihak berkuasa."Modus operandi sindiket adalah menyasarkan warga asing yang ingin memanjangkan tempoh tinggal di Malaysia dengan menawarkan perkhidmatan pemalsuan cap Pas Lawatan Sosial."Mereka menggunakan cap palsu yang diubah suai dan menjalankan proses ‘mencuci’ cap bagi meminda tarikh kemasukan serta menghilangkan cap asal dalam pasport," katanya.Tambahnya, bagi mengelak transaksi mencurigakan, sindiket terbabit menggunakan perkhidmatan penghantaran makanan untuk menghantar pasport ke rumah pelanggan dan mengambil semula dokumen berkenaan selepas proses pemalsuan selesai."Bayaran dikenakan sebanyak RM400 bagi setiap cap, sama ada secara tunai atau melalui transaksi dompet elektronik," katanya.Tambah beliau, tiga individu berusia antara 26 hingga 40 tahun ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Pasport 1966."Kesemua suspek kini ditahan di Depot Imigresen Semenyih bagi membantu siasatan lanjut."JIM Selangor akan terus mempertingkatkan penguatkuasaan di seluruh negeri dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang imigresen," katanya.