HULU LANGAT - Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memilih Kampung Batu 20, Sungai Lui, Hulu Langat, Selangor sebagai Kampung Angkat MADANI dengan memberi fokus utama kepada pembangunan fizikal, sukan dan golongan belia.Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik) Kementerian Belia dan Sukan, Chan Hong Jin berkata, antara program yang telah dilaksanakan adalah keusahawananbelia, sukan komuniti, aktiviti kesukarelawanan, kliniksukan, aktiviti seni dan muzik serta latihan asas kemahiran bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).Menurutnya, usaha itu bukan sahaja menunjukkan komitmen, malah keprihatinan tinggi untuk kesejahteraan belia dan komuniti setempat."Perdana Menteri telah memperkenalkan Program Kampung Angkat MADANI (KAM) menerusi pembentangan Bajet 2024 sebagai usaha merapatkan jurang pembangunan antara desa dan bandar dengan melengkapkan keperluan dan kemudahan asas infrastruktur kampung terpilih."Program ini bukan sekadar peluang untuk berbakti kepada daerah Hulu Langat, khususnya di Kampung Batu 20, Sungai Lui, tetapi turut mencerminkan usaha kerajaan MADANI dalam menyantuni masyarakat melalui pendekatan empati, keprihatinan dan tanggungjawab sosial."Saya berharap pelaksanaan inisiatif KBS di kampung ini akan mencapai objektif utamanya iaitu menyedia dan meningkatkan akses kepada kemudahan asas, membangunkan sosioekonomi komuniti setempat, memperkaya nilai cakna dalam kalangan pemimpin serta meningkatkan potensi kampung," katanya.Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penyerahan Projek Kampung Angkat Madani KBS di Kampung Batu 20, Sungai Lui, Hulu Langat 2025.Tambah Hong Jin, projek berkenaan dijalankan dengan kerjasama erat Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Negeri Selangor, Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Dusun Tua, Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Langat, Majlis Belia Daerah (MBD) Hulu Langat serta pertubuhan belia, sukan dan komuniti setempat.Jelasnya, difahamkan sejak pelaksanaan program tersebut pada pertengahan tahun ini, kerja-kerja menaik taraf dan pembaikan infrastruktur telah dilaksanakan dengan jayanya.Ia termasuk kerja-kerja menaiktaraf dua gelanggang serbaguna, menurap jalan dan kawasan parkir di masjid, menaiktaraf pusat komuniti dan gelanggang silat berbumbung di Sekolah Kebangsaan Sungai Lui, membaik pulih dewan serbaguna, gelanggang futsal dan bola jaring."Saya menghargai semua agensi pelaksana atas usaha gigih dan dedikasi mereka melaksanakan program-program ini setiap minggu secara berterusan bagi memastikan semuanya dapat diselesaikan selewat-lewatnya pada 31 Disember 2025," jelasnya.Beliau memberitahu, penyerahan projek pada Ahadbukan sekadar simbolik, tetapi membuktikan bahawa kerjasama antara kerajaan, agensi pelaksana dan komuniti setempat dapat menghasilkan keberhasilan yang nyata dan memberi impak langsung kepada penduduk kampung."Dengan kemudahan yang telah dinaiktaraf dan program pembangunan belia yang telah dilaksanakan, saya yakin Kampung Sungai Lui akan terus berkembang sebagai komuniti yang progresif, mampan dan sejahtera."Saya berharap agar komuniti kampung dapat memanfaatkan sepenuhnya semua kemudahan yang telah disediakan. Peranan penduduk amat penting untuk memastikan kesinambungan projek ini dan menjaga kemudahan atau fasiliti yang telah dibangunkan," ulasnya.KBS peruntukan RM1 jutaSementara itu, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Selangor, Syamsul Tahrin Mohd Tahir memberitahu, KBS memperuntukkan RM1 juta bagi pembangunan infrastruktur serta pelaksanaan program komuniti menerusi Program Kampung Angkat MADANI.Beliau berkata, ia juga memberi tumpuan kepada pemerkasaan belia dan penglibatan penduduk kampung secara berterusan."Jabatan saya dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan pelbagai program dengan penglibatan sukarelawan dalam kalangan belia kampung."Antara inisiatif yang dijalankan termasuk kursus TVET seperti kemahiran potong rambut, latihan keusahawanan, memasak dan sebagainya agar ia dapat menjana pendapatan," ujarnya.Menerusi program ini juga, beliau mengharapkan manfaat yang diterima penduduk kampung tidak bersifat sementara, sebaliknya mampu memberi kesan jangka panjang kepada pembangunan komuniti.Tambahnya lagi, selain pembangunan infrastruktur, peruntukan tersebut turut digunakan bagi menjayakan pelbagai aktiviti belia dan sukan, termasuk memperkasa program Rakan Muda sebagai platform untuk menyerlahkan potensi belia di peringkat akar umbi.Penduduk bersyukur, nikmati kemudahanKetua Kampung Batu 20, Sungai Lui, Hulu Langat, Mohd Ramdan Kamso memberitahu, rata-rata penduduk melahirkan rasa syukur atas pelbagai kemudahan baharu yang dinikmati hasil pelaksanaan program pembangunan yang dijalankan.Ujarnya, pelbagai manfaat telah diterima penduduk khususnya dari segi penambahbaikan kemudahan awam seperti masjid dan sekolah agama.Menurut beliau, masjid kampung tidak menerima sebarang kerja baik pulih sejak tahun 2021 berikutan kekangan kewangan."Alhamdulillah, banyak manfaat yang kami dapat, terutamanya untuk masjid. Sebelum ini, kalau nak buat baik pulih, kos boleh mencecah sehingga RM300,000 sedangkan kami tiada dana mencukupi."Bagaimanapun, menerusi program KBS, kerja-kerja pemasangan pendawaian dan penyaman udara di masjid telah dilakukan sepenuhnya, selain pembaikan kemudahan di sekolah agama dengan menggantikan peralatan yang rosak."Selain itu, kemudahan infrastruktur turut dinaik taraf termasuk kerja turapan tar baharu di kawasan masjid. Kampung ini mempunyai kira-kira 1,800 penduduk dan 300 buah rumah," ujarnya.Dalam pada itu, kemudahan sukan turut disediakan menerusi menaiktaraf gelanggang serbaguna yang boleh digunakan untuk aktiviti seperti bola jaring, pickleball, badminton dan sepak takraw.Mohd Ramdan turut berharap agar penduduk dapat memanfaatkan kemudahan yang disediakan serta bersama-sama menjaga harta awam tersebut.Beliau turut menyatakan kegembiraan apabila golongan belia turut berganding bahu dalam menjayakan pelbagai program komuniti yang dianjurkan"Gabungan anak-anak muda yang turut serta dalam program yang dijalankan amat membanggakan. Penduduk sangat bersyukur dengan apa yang telah disediakan," katanya.