TAIPING - Bapa tiga anak dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Taiping pada Selasa atas pertuduhan mencederakan seorang siak menggunakan parang dalam kejadian di Kamunting di sini minggu lalu.Tertuduh, Kamarulzaman Kamarudin, 55, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Noor Sakinah Haroon Arashid.Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah ke atas Normuda Mohd Noor, 68, dengan menggunakan sebilah parang di Surau Nurul Hidayah, Kampung Bukit Jana, Kamunting dalam daerah Larut, Matang dan Selama kira-kira jam 2.30 petang pada 10 Disember lalu.Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.Timbalan Pendakwa Raya, Nur Syuhada Muhammad Lutfi menawarkan jaminan RM15,000 terhadap tertuduh selain syarat tambahan supaya tidak mendekati mangsa dan dikehendaki melaporkan diri di balai polis sebulan sekali.Tertuduh yang diwakili Peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Puteri Hikmatul Raudah Dzulaikha Mohamad memohon jaminan paling minimum dengan alasan tertuduh bekerja sendiri dengan pendapatan sekitar RM50 sehari, mempunyai tiga anak dan sudah bercerai.Mahkamah turut diberitahu bahawa tertuduh pernah dimasukkan ke hospital psikiatri sebanyak tiga kali dan memohon supaya tertuduh dirujuk ke hospital bagi rawatan, sementara menunggu tarikh perbicaraan akan datang.Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan yang dikemukakan pihak pendakwaan.Tarikh 29 Januari depan ditetapkan sebagai tarikh sebutan semula kes.Terdahulu media melaporkan, seorang siak surau parah selepas ditetak berulang kali pada bahagian kepala dan tangan oleh seorang lelaki bersenjatakan parang.Berdasarkan siasatan awal polis, motif kejadian dipercayai berpunca daripada ketidakpuasan hati suspek terhadap mangsa.Suspek berjaya ditahan oleh anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping sekitar jam 4.30 petang pada hari sama, tidak jauh dari lokasi kejadian.