Pertikaian jual beli kereta, enam lelaki ditahan

GEORGE TOWN - Enam lelaki tempatan berusia antara 25 hingga 28 tahun ditahan selepas terlibat dalam satu kejadian pergaduhan di hadapan sebuah restoran di Jalan Lenggong, Jelutong di sini pada malam Isnin.Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, polis menerima maklumat daripada orang awam berhubung kejadian itu kira-kira jam 7.45 malam sebelum anggota polis digerakkan ke lokasi.Menurutnya, siasatan awal mendapati pergaduhan tersebut berlaku kira-kira jam 7.30 malam dan dipercayai berpunca daripada pertikaian melibatkan urusan jual beli sebuah kereta antara dua pihak."Kesemua suspek yang terlibat adalah lelaki warga tempatan dan hasil siasatan awal membawa kepada tangkapan enam individu bagi membantu siasatan."Kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh menggunakan senjata, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.Tambah beliau, empat daripada suspek utama telah direman selama tiga hari bermula 16 hingga 18 Disember manakala dua lagi suspek direman sehari sehingga Selasa bagi membantu siasatan lanjut."Orang ramai dinasihatkan agar tidak menularkan sebarang rakaman video kejadian atau membuat spekulasi dan komen tidak benar yang boleh mengganggu serta menjejaskan siasatan polis."Kerjasama orang awam amat dihargai bagi memastikan siasatan dapat dijalankan secara telus dan adil," katanya.Terdahulu, tular beberapa klip video memaparkan pergaduhan sekumpulan lelaki di hadapan sebuah restoran nasi kandar di Jelutong.