BUTTERWORTH - Dua anggota polis berpangkat koperal dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Khas Rasuah di sini atas pertuduhan menerima rasuah wang tunai berjumlah RM3,000 dua tahun lalu.Tertuduh, Mohamad Irwan Ason, 40, dan Mohd Effendy Mat Desa, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan tersebut.Kedua-duanya yang kini bertugas di Lokap Berpusat Bayan Baru membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh yang masing-masing bertugas di Balai Polis Bukit Mertajam ketika itu didakwa secara bersama memperoleh suapan tersebut daripada seorang lelaki sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan berhubung beberapa kesalahan melibatkan cukai jalan tamat tempoh, pemilikan air ketum dan rokok tidak bercukai.Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 20 Julai 2023 di kawasan parkir berhampiran sebuah bank di Taman Desa Damai, Bukit Mertajam.Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.Jika sabit kesalahan, kedua-dua tertuduh boleh dipenjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Noor Azura Zulkiflee manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam, A Chandrasegaran.Noor Azura menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah serta melaporkan diri di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) terdekat sebulan sekali sehingga kes selesai.Chandrasegaran kemudiannya memohon mahkamah mengurangkan wang jaminan berikutan kedua-dua anak guamnya mempunyai tanggungan keluarga selain mempunyai ansuran rumah dan kereta."Mohamad Irwan mempunyai lapan anak yang mana enam masih bersekolah. Dia juga menanggung ansuran rumah sebanyak RM1,200 dan RM600 untuk ansuran kereta."Sementara Mohd Effendy mempunyai masalah kesihatan iaitu diabetes dan darah tinggi. Tertuduh juga menanggung ansuran kereta dan rumah."Selain itu, dia mempunyai tiga anak berusia lingkungan dua hingga 11 tahun, seorang isteri yang sedang hamil dan menanggung bapanya yang berusia 70-an," ujarnya.Zulhazmi kemudiannya menetapkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh.Beliau turut mengenakan syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di Pejabat SPRM terdekat setiap bulan sehingga kes selesai.Kes ditangguhkan sehingga 20 Januari depan untuk sebutan semula kes.