KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kerajaan tidak sesekali akan bertolak ansur terhadap penjenayah yang dikatakan 'berkeliaran' sehingga memberi gambaran bahawa pihak berkuat kuasa lemah dalam menangani kegiatan mereka.Mengambil contoh kes tiga penjenayah lelaki yang ditembak mati di Melaka baru-baru ini, beliau berkata, kes itu akan disiasat secara rapi dan telus tanpa sebarang tolak ansur oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM)."Saya dapat jaminan daripada Ketua Polis Negara dan Jabatan Siasatan Jenayah (Bukit Aman) bahawa siasatan rapi dan telus (dilaksanakan), tiada tolak ansur."Laporan telah mereka kemukakan kepada Peguam Negara hari ini untuk tindakan lanjut," katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Negara pada Selasa.Perdana Menteri menjawab pertanyaan Senator Amir Md Ghazali yang ingin tahu langkah kerajaan dalam memperkukuh integriti dan ketelusan penguatkuasaan undang-undang bagi mengekang penyalahgunaan kuasa dan ketirisan dalam agensi penguatkuasaan, termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM).Anwar berkata, tindakan itu membuktikan kerajaan tidak akan berkompromi sekiranya berlaku sebarang keterlanjuran tindakan oleh pihak polis, sambil menekankan bahawa setiap dakwaan akan disiasat secara menyeluruh mengikut peruntukan undang-undang. - Bernama