NILAI - Serbuan sebuah rumah teres dua tingkat di Seri Kembangan, Selangor membongkarkan kegiatan pembungkusan dadah jenis bunga ganja yang dianggarkan bernilai RM62.5 juta.Serbuan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) itu dilakukan pada 2 Disember lalu, hasil risikan selama dua minggu.Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan/Pematuhan) Ibu Pejabat Kastam, Siti Mang berkata, dalam serbuan berkenaan, sebanyak 17 kotak parcel dan sejumlah bungkusan aluminum foil didapati berisi bunga ganja dianggarkan seberat 638 kilogram telah ditemui."Nilai rampasan dadah terbabit dianggarkan bernilai RM62.5 juta dan ia merupakan rampasan bunga ganja terbesar direkodkan oleh JKDM sepanjang tahun ini."Bagaimanapun, tiada tangkapan kerana ketika serbuan tiada sesiapa di rumah berkenaan, dipercayai telah melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa," katanya dalam sidang akhbar di Cawangan Narkotik, Ibu Pejabat JKDM Kampung Jijan di sini pada Selasa.Menurutnya, rumah berkenaan dipercayai disewa oleh sindiket untuk dijadikan tempat pembungkusan bunga ganja sejak September lalu.Tambahnya, modus operandi sindiket ialah menggunakan kotak cadar untuk membungkus dadah bagi mengelak dikesan pihak berkuasa."Berdasarkan keterangan pada bungkusan kotak, barang dagangan dinyatakan sebagai 'microfiber bedsheet' dan dipercayai untuk dihantar ke luar negara."Sebuah motosikal yang didapati di perkarangan rumah dan mesin vakum serta alat penimbang yang disyaki digunakan untuk pembungkusan dadah turut disita," katanya.Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika disabit kesalahan, boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup dan tidak kurang 12 kali sebatan.