KOTA KINABALU - Empat lelaki ditahan selepas bertindak menghalang pihak polis menjalankan tugas ketika sedang menahan seorang suspek bagi membantu siasatan kes kecederaan dan penderaan pelajar madrasah yang dilaporkan sebelum ini.Empat lelaki berusia sekitar 30 hingga 50-an dipercayai ahli keluarga mangsa iaitu pelajar madrasah yang didakwa dipukul menggunakan topi keledar dalam satu video yang tular dalam kejadian pada malam Ahad lalu.Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, pihaknya telah menerima laporan berhubung kejadian itu di Telipok, di sini, pada jam 6.45 petang Isnin."Kejadian ini berlaku ketika sepasukan pegawai polis sedang menjalankan tugas untuk menangkap dan membawa seorang suspek bagi membantu siasatan kes kecederaan dan penderaan kanak-kanak yang telah dilaporkan sebelum ini."Siasatan awal mendapati beberapa individu telah bertindak menghalang kenderaan polis, mengeluarkan kata-kata kesat, cuba membuka pintu kenderaan serta menendang dan memukul kenderaan berkenaan sehingga menjejaskan tugas polis," katanya dalam kenyataan pada Selasa.Tambah beliau, turut dirampas sebatang besi golf yang dipercayai digunakan semasa kejadian tersebut."Kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan pihak polis akan memohon reman ke atas kesemua suspek di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah, menjalankan ujian saringan air kencing, serta merakam percakapan saksi kejadian," katanya.Dalam pada itu, Kasim menasihatkan orang awam agar tidak bertindak mengikut perasaan, bertenang dan memberi kerjasama penuh kepada pihak polis."Sebarang ketidakpuasan hati hendaklah disalurkan melalui saluran undang-undang yang betul," katanya.Sinar Harian pada Isnin melaporkan seorang lelaki ditahan susulan satu video berdurasi hampir lima minit tular media sosial yang memaparkan sekumpulan remaja dipukul menggunakan topi keledar di sebuah premis di Kota Kinabalu.