Polis bongkar pusat bangunkan aplikasi untuk scammer, sasar warga China

KUANTAN - Polis Pahang berjaya menumpaskan sindiket mencipta aplikasi pertukaran mata wang asing palsu untuk aktiviti 'scammer' susulan penahanan lima suspek dalam serbuan ke atas sebuah rumah di Puncah Lestari, Mentakab, Temerloh pada 2 Disember lalu.Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, suspek termasuk dua wanita berusia 29 hingga 39 tahun itu terdiri dua warga tempatan, dua warga China dan seorang warga Indonesia.Menurutnya, suspek dipercayai menjalankan kegiatan mencipta aplikasi bagi kegunaan scammer dengan sasaran mangsa di China."Polis juga percaya kumpulan itu turut bergiat dalam penipuan penukaran mata wang asing tidak wujud yang mensasarkan mangsa di negara itu," katanya dalam sidang akhbar di Bilik Media Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini pada Selasa.Yahaya berkata, susulan penahanan suspek, polis menemui dan merampas 11 telefon bimbit,tujuh komputer riba, dua monitor, CPU,papan kekunci dan modem dengan anggaran nilai rampasan keseluruhan RM30,000."Sindiket ini dipercayai menjalankan aktiviti penipuan melalui aplikasi Telegram dengan menawarkan urusan penukaran mata wang asing yang tidak wujud dengan menyasarkan warganegara China sebagai mangsa."Hasil siasatan, kesemua suspek tinggal di premis tersebut sejak Julai lalu," katanya.Beliau berkata, suspek mendakwa memperoleh pekerjaan itu melalui Facebook dan laman web carian kerja sebelum diarahkan ke lokasi itu melalui WhatsApp."Mereka berperanan sebagai pegawai khidmat pelanggan dan dibayar gaji antara RM2,500 hingga RM4,000 sebulan."Kesemua mereka telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Temerloh pada 8 Disember lalu," katanya.Sementara itu, Yahaya berkata, pihaknya juga berjaya melumpuhkan satu sindiket penipuan dalam talian berkonsepkan ‘calling centre’ di Bera, 27 November lalu.Menurutnya, hasil serbuan ke atas sebuah hotel di Triang itu, pihak polis berjaya menahan lapan warganegara China terdiri enam lelaki dan dua wanita berusia 21 hingga 39 tahun bersama 19 telefon bimbit dan dua komputer riba dianggarkan bernilai RM31,500."Siasatan mendapati sindiket ini beroperasi dengan menggunakan akaun palsu di aplikasi Facebook untuk memerangkap mangsa sebelum beralih ke aplikasi Telegram bagi memperdaya mangsa menyertai skim pelaburan yang tidak wujud," katanya.Tambah beliau, perkembangan terkini itu menyaksikan sindiket penipuan telah mula menyasarkan kawasan luar bandar untuk beroperasi bagi menyukarkan aktiviti mereka dikesan pihak berkuasa."Pemilik yang menyewakan premis mereka perlu lebih berhati-hati dan membuat semakan lanjut ke atas penyewa lebih-lebih lagi melibatkan kumpulan warga asing."Kebiasaannya, mereka tidak bergaul dengan masyarakat setempat dan tidak akan keluar dari premis sebaliknya keperluan mereka diuruskan sindiket," katanya.Yahaya berkata, berdasarkan statistik Januari hingga November tahun ini, sebanyak 2,999 kes penipuan dalam talian direkodkan di negeri ini dengan nilai kerugian mencecah RM90.3 juta."Sebanyak 1,068 kes dibuka kertas siasatan dan telah dituduh di mahkamah," katanya.