Kes tembak: Dua lagi suspek ditahan

SEREMBAN - Dua lagi suspek yang disyaki terbabit dalam kejadian tembakan di Jalan Rasah, menghala ke Plaza Tol Mambau di sini, 10 Disember lalu ditahan polis pada Isnin.Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Azahar Abdul Rahim berkata, kedua-dua suspek lelaki berusia 30-an itu ditahan di Bagan Serai, Pulau Pinang."Pihak kami masih menjalankan siasatan berhubung pembabitan suspek terbaharu ini dalam kes berkenaan."Mereka kini direman selama lima hari bermula semalam sehingga 19 Disember ini bagi melengkapkan siasatan," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.Menurutnya, tiga suspek lelaki yang telah ditahan sebelum ini juga turut disambung reman sehingga 19 Disember selepas permohonan dibuat di Mahkamah Majistret.Tambahnya, jumlah keseluruhan tangkapan setakat ini adalah lima individu dan satu senjata api jenis semi auto telah dirampas."Kertas siasatan dijangka akan dirujuk ke Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan pada 18 Disember ini dan seterusnya dirujuk ke Pejabat Pendakwaan Negeri.Mengulas mengenai keadaan mangsa yang cedera dalam kejadian itu, Azahar berkata, lelaki berkenaan dilaporkan dalam keadaan stabil.Sebelum ini, media melaporkan seorang maut manakala seorang lagi cedara parah selepas ditembak di dalam kereta dalam kejadian antara jam 7 hingga 7.30 pagi pada 10 Disember lalu.Seorang mangsa berusia 43 tahun dipercayai bekerja sebagai pengawal peribadi disahkan meninggal dunia jam 12.50 tengah hari, hari sama.Seorang lagi mangsa berusia 47 tahun mempunyai 15 rekod kes jenayah atas pelbagai kesalahan.