KPDN KL lupus barang kes bernilai RM4.5 juta

KUALA LUMPUR - Lebih 1 juta pelbagai barangan termasuk pakaian, aksesori, komponen elektronik dan produk kesihatan tiruan bernilai RM 4.5 juta dilupuskan dalam tempoh dua tahun.Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Mohd Sabri Seman berkata, pelupusan berkenaan melibatkan barangan kes yang dirampas di bawah beberapa peruntukan undang-undang."Pelupusan barang kes melibatkan Akta Cap Dagangan 2019, Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011, Akta Perihal Dagangan 2011 dan Akta Perlindungan Pengguna 1999," katanya dalam sidang akhbar di Stor Penyimpanan Eksibit KPDN Kuala Lumpur di sini pada Selasa.Mohd Sabri berkata, sebanyak 309 kes membabitkan pelbagai barangan berjaya dilupuskan dengan nilai keseluruhan RM4.5 juta dalam tempoh dua tahun."Pelupusan hari ini pula dikategorikan sebagai Pelupusan Mega KPDN Kuala Lumpur susulan nilai pelupusan tertinggi dalam tempoh dua tahun, melibatkan 54 kes dengan nilai mencecah RM1 juta," katanya.Menurutnya, antara barangan yang terlibat dalam pelupusan itu ialah pakaian dan aksesori fesyen seperti baju, seluar, kasut, beg dan jam tangan."Selain itu, komponen elektronik termasuk pengecas dan bateri, aksesori telefon, produk kesihatan dan kecantikan, barangan pembersihan rumah, alat ganti dan penyelenggaraan kenderaan turut dilupuskan," katanya.Beliau berkata, kuantiti tertinggi barangan dilupuskan melibatkan pakaian dan aksesori fesyen di bawah tindakan Akta Cap Dagangan dengan jumlah melebihi 24,800 unit."Kesemua barangan yang dilupuskan telah selesai melalui prosiding mahkamah dan mendapat kebenaran pelupusan selaras peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa."Proses pelupusan dilaksanakan secara sistematik dan terancang mengikut Prosedur Operasi Pengurusan Eksibit, dengan pematuhan aspek keselamatan bagi memastikan kerja-kerja pelupusan berjalan dalam keadaan terkawal dan selamat," katanya.Mohd Sabri berkata, tindakan pelupusan berkenaan bertujuan menghalang barangan tidak patuh undang-undang daripada kembali ke pasaran."Di samping meningkatkan kesedaran serta pendidikan kepenggunaan agar orang ramai lebih peka terhadap hak dan keselamatan mereka," katanya.Dalam perkembangan berasingan, Mohd Sabri berkata, sebanyak 584 kes telah dihasilkan pada tahun membabitkan jumlah keseluruhan nilai rampasan telah mencecah RM4,660,328.06."Angka ini adalah terbesar dalam jumlah nilai tindakan, ia menggariskan impak ketara operasi penguatkuasaan terhadap aktiviti haram dan tidak beretika dalam pasaran."Manakala jumlah keseluruhan nilai kompaun yang dihasilkan bagi tempoh ini adalah RM825,500 dan nilai denda pula RM255,658," katanya.