SUNGAI PETANI - Baharu lima bulan keluar penjara, seorang lelaki ditahan semula bersama lima rakan lain yang dikenali sebagai Geng Kavi kerana disyaki mencuri kabel.Suspek utama berusia 38 tahun itu dikesan mengetuai kumpulan yang dipercayai aktif melakukan jenayah terbabit sekitar daerah Kuala Muda.Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, satu serbuan menerusi Ops Pintu/Usil dijalankan pada 11 Disember lalu di Pekan Lama Sungai Petani, sekali gus menumpaskan kegiatan geng terbabit yang dianggotai enam lelaki berusia antara 27 hingga 51 tahun."Hasil risikan dan tindakan susulan melalui operasi yang dijalankan sepanjang Disember ini, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda berjaya menumpaskan satu kumpulan penjenayah yang aktif melakukan kegiatan mencuri kabel milik Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB)," katanya.Beliau berkata, dalam serbuan sama, pihak polis turut merampas peralatan dan perkakas yang digunakan untuk memecah dan memotong kabel sebelum dipercayai dijual ke tapak pelupusan.Dalam serbuan terbabit, polis merampas lapan gulung kabel KTMB di dalam kenderaan yang digunakan suspek dengan nilai dianggarkan RM10,000."Modus operandi kumpulan ini adalah menggunakan jaket keselamatan dan menunggang motosikal kononnya sedang memantau lokasi semasa melakukan jenayah. Mereka juga menggunakan sebuah kenderaan jenis Proton Wira bagi memudahkan pergerakan serta menyimpan peralatan dan barangan curi termasuk kapak, tukul besi, mesin pengisar, pemotong dan gergaji besi."Sasaran utama kumpulan ini adalah merosakkan pagar KTMB, memasuki kawasan landasan kereta api dan seterusnya mencuri kabel di dalam lubang bawah tanah," katanya.Kesemua suspek mempunyai rekod jenayah lampau termasuk suspek utama yang memiliki 12 rekod jenayah dan 18 rekod berkaitan dadah.Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.