Batal sewa helikopter Black Hawk: kerajaan dihalang guna jaminan bank RM1.87 juta

KUALA LUMPUR - Aerotree Defence and Services Sdn Bhd berjaya dalam permohonannya di Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa, untuk mendapatkan perintah injunksi sementara untuk menghalang kerajaan daripada menggunakan wang jaminan bank sebanyak RM1.87 juta.Ia berhubung kes saman RM353 juta bagi sewaan empat helikopter Black Hawk buatan Amerika Syarikat (AS) yang dibatalkan pada Oktober 2024 terhadap kerajaan, Kementerian Pertahanan dan ketua setiausahanya sebagai defendan pertama hingga ketiga.Hakim, Datuk Dr Arik Sanusi Yeop Johari memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan Aerotree dan berpuas hati bahawa Seksyen 29 Akta Prosiding Kerajaan 1956 tidak menghalang perintah interim sementara diberikan kepada syarikat itu selaku plaintif."Kes ini harus diputuskan berdasarkan fakta dan merit, selain saya berpandukan kepada keputusan Mahkamah Rayuan dan Persekutuan ketika mencapai keputusannya."Justeru saya berpuas hati bahawa ‘relief’ sedemikian boleh diberikan," kata hakim yang menambah pengurusan kes bagi arahan pemfailan dokumen pra-perbicaraan pada 27 Januari tahun depan.Dalam prosiding ini, syarikat tempatan itu diwakili peguam, Datuk Mohd Hafarizam Harun, Muhammad Luqman Hakeem Abas dan Norhazira Abu Haiyan sementara semua defendan dihadiri Peguam Kanan Persekutuan, Nik Mohd Noor Nik Kar.Pada 19 September lalu, Aerotree memfailkan saman RM353 juta terhadap kerajaan di Mahkamah Tinggi di sini, berhubung pembatalan sewaan semua helikopter Black Hawk UH-60A buatan AS selama lima tahun.Saman difailkan melalui firma guaman Messrs Hafarizam, Wan Aisha & Mubarak dan memohon perintah mahkamah untuk memaksa kerajaan meneruskan perjanjian berkenaan berdasarkan surat setuju terima bertarikh 17 April 2023.Sekiranya enggan, syarikat itu menuntut ganti rugi khas RM17.5 juta, ganti rugi tambahan RM38.7 juta, dan pampasan AS$38.7 juta (RM297.3 juta) termasuk ganti rugi am, teladan serta teruk.Aerotree juga memohon supaya kerajaan dihalang daripada menggunakan jaminan bank RM1.87 juta, serta satu pengisytiharan bahawa penamatan pada 31 Oktober 2024 sebagai batal dan tidak sah.Berdasarkan penyataan tuntutan setebal 31 muka surat, syarikat itu menyatakan kerajaan telah bersetuju untuk menyewa empat helikopter bernilai RM187.5 juta di bawah inisiatif pembiayaan swasta, dengan syarikat tersebut akan memiliki, mengendalikan dan menyelenggara pesawat berkenaan.Di bawah perjanjian terbabit, dua helikopter sepatutnya dihantar kepada defendan dalam tempoh enam bulan selepas surat setuju terima, manakala dua lagi dalam tempoh sembilan bulan.Aerotree juga telah menyediakan bon pelaksanaan RM1.87 juta, yang dijamin sebuah bank tempatan.Syarikat itu berkata, ia telah menandatangani perjanjian dengan sebuah perusahaan teknologi pertahanan dari Turkiye, Havelsan bagi latihan simulator untuk 14 juruterbang tentera darat dengan akademi latihan dari Slovakia untuk membeli serta menaik taraf helikopter berkenaan.Bagaimanapun katanya, penghantaran tertangguh kerana pengubahsuaian teknikal, keperluan latihan juruterbang, serta gangguan rantaian bekalan akibat perang Rusia-Ukraine.Pihak syarikat telah memohon lanjutan sehingga 30 Oktober 2024 sebanyak tiga kali, namun masih tertakluk kepada penalti kelewatan penghantaran.Syarikat itu juga mendakwa kementerian gagal membantu mendapatkan pinjaman daripada SME Bank, yang ketika itu sedang melalui penyusunan semula lembaga pengarah.Katanya, pertukaran menteri pertahanan turut menangguhkan urusan dokumen.Pada 31 Oktober 2024, Aerotree menerima surat penamatan kerana gagal menyerahkan helikopter tersebut.Plaintif berkata, tindakan itu tidak adil sambil berhujah bahawa helikopter berkenaan telah didaftarkan dengan Jabatan Negara AS dan sedang menunggu kelulusan eksport di bawah Peraturan Trafik Antarabangsa dalam Senjata.Syarikat bumiputera itu berhujah, penalti sepatutnya dikenakan, bukannya pembatalan, selain mendakwa penamatan dibuat melanggar terma surat setuju terima yang menghendaki rundingan dibuat terlebih dahulu.Aerotree juga mendakwa, dokumen pembiayaan utama iaitu surat ikatan kemudahan dikemukakan kepada bahagian perundangan kementerian pada Jun 2024, namun tiada tindakan diambil.Syarikat kejuruteraan pertahanan mendakwa, kerajaan kemudiannya merampas bon pelaksanaan RM1.87 juta dan mengabaikan surat rayuan dihantar pada Disember 2024.Ia berkata tindakan itu menjejaskan reputasinya dan mendedahkannya kepada tindakan undang-undang daripada pembekalnya di Slovakia.Plaintif juga menyatakan, kementerian mengeluarkan tender baharu dengan tarikh tutup pada 23 September, bagi penyewaan helikopter pada 4 Ogos lalu bernilai RM185.2 juta.Walaupun Aerotree layak untuk memohon semula namun katanya, tiada jaminan ia akan berjaya malah berkemungkinan akan menghadapi halangan yang sama.Dengan kelulusan eksport kini telah diperoleh, Aerotree berkata, penamatan itu dilakukan dengan niat tidak baik, yang menyebabkan kerugian kewangan dan reputasi yang besar.