Padah aniaya anak kandung hingga cedera

SEREMBAN - Seorang wanita dijatuhi hukuman penjara tiga bulan dan diperintah menjalani program khidmat masyarakat selama 120 jam oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas pertuduhan menganiaya anak kandungnya sehingga mendatangkan kecederaan fizikal di kepala dan lengan mangsa pada Oktober lalu.Hakim, Datin Surita Budin menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Fatin Nur Diana Zakaria, 31, selepas mengambil kira pengakuan bersalahnya dan hujahan pihak pendakwaan serta pembelaan.Mahkamah memerintahkan hukuman penjara bermula daripada tarikh sabitan dan khidmat masyarakat perlu dijalani tertuduh dalam tempoh enam bulan selepas bebas dari penjara.Tertuduh juga perlu menyempurnakan bon berkelakuan baik dengan cagaran RM1,000 dengan seorang penjamin dan jika gagal bayar, boleh dipenjara dua bulan.Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun telah menganiaya mangsa sehingga mengalami kecederaan pada bahagian kepala dan lengan kanan.Kesalahan berkenaan dilakukan kira-kira jam 5.30 pagi di sebuah rumah pangsa dekat Lobak, di sini pada 29 Oktober lalu.Sehubungan itu, tertuduh telah melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 yang boleh dihukum tidak lebih RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya.Berdasarkan fakta kes, mangsa memberitahu gurunya bahawa dia dipukul oleh ibunya di rumah sebelum dihantar ke sekolah pada hari kejadian.Mangsa mendakwa telah dipukul dengan pisau oleh tertuduh dan seterusnya ditolak ke lantai dan mukanya turut dipijak sebelum lehernya dijerut dengan tali hijau.Punca mangsa dipukul kerana dia dituduh mengambil alat solek dalam bilik.Terdahulu, peguam Jabatan Bantuan Guaman, Hanis Anisah Jamiludin yang mewakili tertuduh dalam rayuan mitigasi berkata, tertuduh yang bekerja sebagai juruwang mempunyai dua anak dan berpendapatan RM1,000 sebulan, manakala suaminya bekerja sebagai pengawal keselamatan.Hanis Anisah berkata, tertuduh merupakan pesakit mental dan bergantung pada ubat selain mempunyai sejarah cubaan bunuh diri."Kejadian itu berlaku atas faktor kegagalan tertuduh mengawal kemarahan terhadap mangsa dan dia kini telah menyesal dan sangat rindukan anak-anak."Tempoh pemenjaraan yang panjang akan memburukkan lagi kesihatan mentalnya dan tiada jaminan kondisi mental tertuduh akan bertambah baik," katanya.Beliau turut memberitahu yang keluarga telah membuat akur janji bagi memastikan tertuduh makan ubat dan sentiasa dipantau.Timbalan Pendakwa Raya, Norazihah Asmuni pula memohon hukuman setimpal mengambil kira hubungan tertuduh sebagai ibu yang sepatutnya melindungi anaknya."Namun, tertuduh telah menganiaya mangsa sehingga mendatangkan kecederaan dan memberi kesan emosi jangka panjang," katanya