Kegagalan BN dalam PRU15, MIC jadi sasaran

KUALA LUMPUR – Kenyataan Ketua UMNO Bahagian Batu, Datuk Gulam Muszaffar mengenai kritikan terhadap MIC disifatkan lebih dipandu emosi dan usaha mengalihkan tanggungjawab berbanding kebijaksanaan politik.Ketua Pemuda MIC Bahagian Batu, M Sashi Kumar berkata, MIC dijadikan sasaran mudah seolah-olah kegagalan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berpunca daripada parti itu semata-mata.Beliau menegaskan, hakikat sebenarnya BN mengalami kekalahan menyeluruh dengan UMNO sendiri ditolak rakyat secara besar-besaran."Cubaan mengalihkan beban tanggungjawab kepada MIC tidak akan memadamkan fakta kegagalan strategi, pemilihan calon dan krisis kepimpinan UMNO sendiri menjadi punca utama BN tumbang," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.Sashi berkata, tindakan menyalahkan rakan gabungan mungkin melegakan emosi, namun tidak menyelesaikan masalah sebenar sedang dihadapi UMNO.Sashi Kumar turut mempersoalkan pendirian kepimpinan UMNO Bahagian Batu yang didakwa gagal mempertahankan bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak yang masih dipenjarakan, walaupun kewujudan addendum daripada Yang di-Pertuan Agong sudah diketahui umum."Sebagai Ketua Bahagian, sepatutnya beliau berada di barisan hadapan mempertahankan prinsip parti."Bukan sekadar menampilkan drama bermusim, air mata dan emosi ketika mesyuarat, kemudian sunyi selepas itu tanpa pendirian konsisten atau tindakan berani," tambah beliau.Sashi menegaskan, isu itu bukan berkaitan sentimen atau simpati sementara, sebaliknya membabitkan prinsip, maruah dan keberanian politik.Dalam pada itu, beliau turut membandingkan pendirian Presiden Parti Pertubuhan Kinabalu Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick yang sanggup meletakkan jawatan sebagai menteri kerana tidak bersetuju dengan pendirian kerajaan Persekutuan berhubung tuntutan 40 peratus hasil Sabah."Tanpa drama dan sandiwara, hanya pendirian yang konsisten dan bermaruah. Persoalannya, adakah mana-mana pemimpin UMNO berani berbuat perkara sama?," soalnya.Sashi juga menyifatkan, percanggahan kenyataan pimpinan UMNO berhubung kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dan DAP sebagai mengelirukan rakyat, selain mencetuskan pelbagai drama politik termasuk isu pelantikan Ahli Majlis dan Majlis Perwakilan Penduduk (MPP)."Kenyataan yang bercanggah, tidak konsisten dan penuh drama inilah yang akhirnya menjadikan UMNO bahan sindiran politik, bukan lagi parti diyakini rakyat," ujar beliau.Menurut Sashi, MIC tidak memerlukan kuliah moral daripada pihak yang gagal mempertahankan prinsip apabila diuji."Jika mahu bercakap soal maruah parti, mulakan dengan membetulkan pendirian sendiri dan cerminlah diri terlebih dahulu," katanya.Terdahulu, Gulam Muszaffar dalam kenyataannya tegas mempertahankan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selepas Ketua Pemuda MIC, K Arvind menyanggah kepimpinan parti itu.Dalam kenyataan sama, Gulam Muszaffar mendakwa, MIC tidak konsisten dalam menentukan hala tuju sama ada kekal bersama BN, menolak PH atau bergerak secara solo.