KUALA LUMPUR - Kegiatan warga asing yang menjalankan perniagaan kecil-kecilan dan premis makanan sebagai lokasi hiburan hingga lewat malam di Jalan Klang Lama di sini, terbongkar apabila 90 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan pada Isnin.Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi yang bermula pada jam 9.40 malam itu disertai 99 pegawai Bahagian Penguatkuasaan Ibu Pejabat JIM Putrajaya susulan risikan selama dua minggu serta aduan awam berhubung kehadiran warga asing mencurigakan di kawasan berkenaan."Seramai 131 individu diperiksa dalam operasi tersebut melibatkan 82 lelaki dan 34 wanita warga asing serta 15 warga tempatan."Daripada jumlah itu, seramai 90 individu berusia 21 hingga 35 tahun ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan imigresen," katanya dalam kenyataan pada Selasa.Zakaria berkata, kesemua yang ditahan terdiri daripada warga Nigeria, Yemen, Syria, Somalia, Guinea-Bissau, Sierra Leone, Liberia, Mali, Indonesia, Myanmar, Bangladesh, Vietnam, Thailand, Pakistan, Sri Lanka dan India."Antara kesalahan dikenal pasti termasuk tinggal lebih masa dan tidak memiliki dokumen perjalanan sah, yang ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963," katanya.Beliau berkata, satu saman saksi (Borang 29) telah dikeluarkan terhadap pemilik sebuah restoran di lokasi operasi bagi membantu siasatan."Modus operandi warga asing terbabit adalah berselindung di sebalik pas yang telah tamat tempoh dengan menjalankan perniagaan kecil-kecilan di kawasan terbuka dan premis makanan, selain menjadikan kawasan berkenaan sebagai lokasi hiburan hingga lewat malam."Kesemua PATI ditahan mengikut Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 dan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen KLIA bagi siasatan serta tindakan lanjut," katanya.