SEREMBAN - Seorang operator kilang yang sebelum ini mengaku bersalah atas empat pertuduhan melakukan amang seksual terhadap empat kanak-kanak perempuan di taman permainan sejak November lalu, menukar pengakuannya kepada tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa.Tertuduh, Muhamad Azizzuan Arsemi, 32, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim, Datin Surita Budin selepas pertuduhan dibacakan semula pada prosiding hukuman dan sebutan fakta kes.Peguam, Muhammad Ahadiat Akashah memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya sebelum ini membuat pengakuan bersalah selepas ditekan oleh pihak polis.Mengikut tiga pertuduhan sebelum ini, tertuduh didakwa telah melakukan amang seksual fizikal dengan memegang dada dan kemaluan mangsa bagi maksud seksual terhadap tiga kanak-kanak perempuan berusia tujuh, lapan dan sembilan tahun.Bagi satu lagi pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual bukan fizikal dengan menunjukkan kemaluannya bagi maksud seksual ke atas kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun.Kesalahan itu dilakukan pada waktu petang dari 21 November hingga 3 Disember lalu di taman permainan di Taman Senawang Indah dan Taman Jasmin di sini.Sehubungan itu, tertuduh didakwa telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 14 (a) dan Seksyen 15 (a) (i) AKSTKK 2017.Jika sabit kesalahan bagi Seksyen 14 (a), tertuduh boleh dipenjara selama tempoh sehingga 20 tahun dan sebat manakala mengikut Seksyen 15 (a) (i), berdepan hukuman penjara tidak lebih 10 tahun serta denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya.Pada prosiding pada Selasa, tertuduh didakwa atas satu pertuduhan baharu iaitu melakukan amang seksual fizikal dengan memegang payu dara sebelah kanan kanak-kanak perempuan berusia 16 tahun tujuh bulan bagi maksud seksual.Bagaimanapun, dia mengaku tidak bersalah terhadap kesalahan yang dilakukan di tepi Jalan Teratai, Taman Marida Senawang pada 6.40 pagi, 29 Julai lalu.Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKSTKK) 2017, jika sabit kesalahan boleh dipenjara selama tempoh sehingga 20 tahun dan sebat.Timbalan Pendakwa Raya, Norazihah Asmuni tidak menawarkan jaminan kerana dikhuatiri tertuduh akan melarikan diri atau ada kemungkinan mengganggu mangsa atau saksi pendakwaan.Beliau berkata, kesalahan yang dilakukan tertuduh adalah serius kerana mangsa adalah kanak-kanak perempuan bawah umur dan jenayah dilakukan di lokasi berbeza."Berdasarkan pengecaman yang dilakukan oleh saksi dan mangsa, tertuduh adalah suspek sebenar malah dia pernah dipenjara atas kesalahan lampau di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan (mencabul) di Bahau," katanya.Muhammad Ahadiat dalam rayuan kepada mahkamah memohon anak guamnya yang merupakan bapa kepada dua anak diberikan jaminan paling munasabah.Bagaimanapun mahkamah menolak permohonan jaminan tertuduh dan kes ditetapkan untuk serahan dokumen pada 31 Januari depan.