Kerajaan sasar 70 peratus lepasan SPM sertai TVET menjelang 2030

IPOH – Kerajaan menyasarkan 70 peratus lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) memilih laluan Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai pilihan pertama menjelang tahun 2030.Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, hasrat itu perlu direalisasikan kerana tumpuan utama negara ialah keperluan melahirkan tenaga mahir dalam skala yang jauh lebih besar.Justeru, beliau menyeru Exco kerajaan negeri yang memegang portfolio Luar Bandar di setiap negeri memainkan peranan lebih aktif memastikan sasaran tersebut dapat dicapai."Sehubungan itu, Exco Luar Bandar diseru untuk menyokong sasaran nasional agar 70 peratus lepasan SPM memilih laluan TVET sebagai pilihan pertama menjelang tahun 2030."Ini selaras dengan agenda transformasi ekonomi negara yang menuntut tenaga kerja berkemahiran tinggi, kompetitif dan bersedia menghadapi keperluan industri masa hadapan," katanya.Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Antara Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Bersama Exco Luar Bandar (Mexclub) Bil. 2/2025 di Hotel Casuarina@Meru, di sini pada Selasa.Hadir sama Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Muhd Khair Razman Mohamed Annuar.Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, kos dan impak perbelanjaan terhadap peruntukan Belanjawan 2025 yang disalurkan kepada semua kerajaan negeri memperlihatkan keberkesanannya dengan pencapaian pelaksanaan setakat ini mencecah sekitar 95 peratus.Jelasnya, sebanyak 42 inisiatif ‘game changer’ telah diperkenalkan di bawah KKDW dengan tahap pencapaian melebihi 95 peratus hasil komitmen bersama kementerian dan kerajaan negeri.Sementara itu beliau berkata, portfolio luar bandar kini tidak lagi tertumpu kepada penyediaan infrastruktur asas semata-mata, sebaliknya meliputi pelbagai aspek pembangunan termasuk pendidikan, keusahawanan dan pembangunan modal insan di bawah agensi seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA).Menurutnya, walaupun kira-kira 8.1 juta daripada 34.5 juta penduduk negara tinggal di luar bandar tanggungjawab KKDW merangkumi keseluruhan rakyat termasuk di bandar dan pinggir bandar."Di bawah MARA sahaja, terdapat lebih 270 institusi TVET termasuk Universiti Kuala Lumpur (UniKL) yang memberi manfaat kepada pelbagai lapisan masyarakat, khususnya mereka yang berasal dari luar bandar."Begitu juga tentang ekosistem pendidikan prasekolah di bawah Kemas (Jabatan Kemajuan Masyarakat) umpamanya. Kemas bukan hanya di kawasan desa, pinggir desa, tetapi juga di kawasan bandar," katanya.Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Zahid berkata, ekosistem pendidikan prasekolah di bawah Kemas turut diperkasa dengan penekanan kepada pembentukan sahsiah, pendidikan hafazan 30 juzuk al-Quran serta pelaksanaan Tabika Kemas Autisme.Menurutnya, program Tabika Autisme yang kini dijadikan kajian kes di Melaka akan diperluaskan dengan sasaran satu Tabika Autisme bagi setiap negeri bermula tahun hadapan manakala menjelang 2027, setiap daerah dijangka mempunyai sekurang-kurangnya sebuah Tabika Autisme Kemas.Selain itu, beliau memaklumkan KKDW akan menggunakan sepenuhnya sistem pemantauan e-Penghulu yang dibangunkan di Perak bagi tujuan pengumpulan data dan pemantauan pelaksanaan program serta menggalakkan semua negeri menggunakannya bagi menilai peruntukan bukan sahaja daripada KKDW malah kementerian lain.