KUALA LUMPUR - Dalam era yang dipacu ledakan teknologi, digitalisasi dan perubahan struktur ekonomi global, Malaysia sedang melakar detik penting dalam reformasi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) melalui pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Pembangunan Kemahiran Kebangsaan (Pindaan) 2025 atau RUU Akta 652 yang telah di baca di Dewan Rakyat pada 3 Disember lalu.Pindaan itu dilaksanakan selepas hampir dua dekad, Akta 652 menjadi teras pembangunan tenaga mahir negara dengan lebih 2.5 juta rakyat Malaysia telah berjaya dipersijilkan melalui Sijil Kemahiran Malaysia, Diploma Kemahiran Malaysia dan Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia sejak 2006.Reformasi program latihan kemahiran tersebut bukan sahaja menjamin akses latihan yang lebih luas kepada rakyat, malah memastikan industricmemperoleh tenaga kerja berkemahiran tinggi untuk menyokong ekonomi negara.Pindaan utama Akta 652 ialah peluasan keanggotaan Majlis Pembangunan Kemahiran Kebangsaan (MPKK) yang kini turut merangkumi kementerian strategik seperti Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) serta penyertaan Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT).Penstrukturan ini menjadikan MPKK lebih inklusif dan mencerminkan kepelbagaian ekosistem TVET negara, sekali gus memastikan keputusan dasar dibuat secara menyeluruh, seimbang dan responsif terhadap tuntutan industri.Salah satu pindaan yang memberi kesan langsung kepada rakyat ialah peluasan pengiktirafan program latihan di luar NOSS bagi tujuan pembiayaan pinjaman melalui Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK).Melalui pindaan ini, Ketua Pengarah JPK diberi kuasa mengiktiraf program-program berkenaan berdasarkan penilaian dan syor jawatankuasa khas yang dilantik, bagi memastikan hanya program luar NOSS yang berkualiti, berwibawa, relevan dan berimpak tinggi layak menerima pengiktirafan.Peruntukan baharu di bawah RUU Akta 652 ini turut meminda Akta Tabung Pembangunan Kemahiran 2004 [Akta 640].Melalui gelaran Pakar Kemahiran, Pakar Kemahiran Kanan dan Perunding Kemahiran, kepakaran dan kompetensi pekerja tempatan ini akhirnya diiktiraf secara rasmi melalui pindaan Akta 652.Dari sudut kawal selia, tempoh pentauliahan dipanjangkan daripada tiga tahun kepada sehingga tidak melebihi enam tahun berdasarkan prestasi.Pindaan Akta 652 turut menggariskan tatacara penggantungan dan pembatalan sijil pentauliahan yang lebih jelas dan holistik.Pendekatan ini bagi mengukuhkan integriti, meningkatkan ketelusan dan memantapkan keyakinan industri terhadap Pusat Bertauliah (PB) yang menjadi tunjang Sistem Persijilan Kemahiran Malaysia (SPKM).Satu lagi pembaharuan besar adalah Sijil Kemahiran Modular Malaysia (SKMM) diperkenalkan bagi laluan latihan fleksibel yang memberi peluang kepada belia, pekerja dan pelbagai golongan untuk meningkatkan kemahiran secara berperingkat mengikut keperluan industri.Lebih daripada sekadar pindaan undang-undang, RUU ini adalah strategi nasional untuk memperkukuh bakat tempatan, meningkatkan kebolehpasaran pelatih SPKM serta mempercepatkan pertumbuhan ekonomi berasaskan kemahiran.Ia selaras dengan Dasar TVET Negara 2030, NIMP 2030 dan Rancangan Malaysia Ke-13 yang menekankan pembangunan bakat sebagai tunjang daya saing negara.Dengan reformasi menyeluruh ini, Malaysia berada di landasan tepat untuk muncul sebagai Hab TVET Serantau menjelang 2030, sekali gus melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi berasaskan kompetensi yang mampu bersaing di pentas global.