Adam Adli beri keutamaan kestabilan, disiplin parti

MELAKA - Pemangku Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Melaka, Adam Adli Abdul Halim menegaskan bahawa keutamaan beliau ketika ini adalah untuk memastikan kestabilan dan disiplin organisasi Parti Keadilan Rakyat (PKR) terus terpelihara.Menurut Adam Adli, beliau menerima pelantikan sebagai Pemangku Pengerusi MPN Melaka dengan penuh rasa tanggungjawab selepas dimaklumkan mengenai keputusan Biro Politik PKR.Katanya, pelantikan tersebut bersifat sementara dan dibuat menerusi resolusi bersama biro politik parti bagi memberi ruang kepada Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin untuk menyelesaikan proses perundangan yang sedang dihadapinya."Dalam tempoh ini, keutamaan saya adalah untuk memastikan kestabilan dan disiplin organisasi parti terus terpelihara, di samping memperkemas persediaan awal bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Melaka akan datang."Saya percaya dengan kerjasama semua peringkat kepimpinan dan akar umbi, parti akan terus bergerak secara tersusun, berdisiplin dan fokus kepada kepentingan rakyat dengan berakarkan prinsip Keadilan Untuk Semua," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.Pada Selasa, Biro Politik Parti Keadilan Rakyat (PKR) memutuskan supaya Adam Adli memangku tugas Pengerusi MPN Melaka berkuat kuasa 15 Disember lalu.Setiausaha Agung PKR, Dr Fuziah Salleh berkata, ketetapan itu dibuat susulan keputusan parti untuk merehatkan Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin daripada menjalankan tugas sebagai Pengerusi MPN Melaka.