Kuantan kembali dilanda banjir

KUANTAN – Beberapa kawasan sekitar daerah ini kembali dilanda banjir ekoran hujan lebat sehingga berlaku limpahan air Sungai Belat dan Sungai Kuantan di sini pada Selasa.Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Kuantan memaklumkan sehingga jam 1 tengah hari, empat kampung terjejas banjir dengan bilangan mangsa seramai 223 orang.Menurutnya, kampung terlibat terdiri daripada Kampung Jaya Gading, Kampung Sri Mahkota, Kampung Seri Damai dan Kampung Panching."Ketika ini, seramai 20 keluarga berada di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Serbaguna Kampung Jaya Gading; Dewan Orang Ramai Kampung Sri Mahkota (60 keluarga); Dewan Orang Ramai Kampung Seri Damai (60 keluarga); Sekolah Kebangsaan (SK) Fakih Abdul Samad (50 keluarga); SK Wira (18 keluarga) dan SK Mat Kilau (15 keluarga)," katanya.Jelas jawatankuasa itu, jumlah mangsa terjejas dijangka akan bertambah memandangkan masih ramai mangsa terlibat dalam proses pendaftaran."Pihak Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kuantan telah bergerak ke lokasi kejadian bagi mendapatkan maklumat mangsa yang terjejas di PPS."Kami juga membantu Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam proses pendaftaran dan pengurusan mangsa banjir," ujarnya.Sementara itu, menerusi laman sesawang Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pada jam 3 petang Selasa, paras Sungai Belat di Seri Damai di sini telah melepasi paras bahaya dengan bacaan 5.98 meter (paras bahaya 4.80 meter).Lima sungai lain turut melepasi paras amaran iaitu Sungai Kenau di Sungai Rimau dan Sungai Soi di Jalan Pekan–Kuantan, Kuantan; Sungai Tembeling di Kampung Merting dan Sungai Tembeling di Kuala Tahan, Jerantut; serta Sungai Tanum di Jambatan Chegar Perah, Lipis.Selain itu, lapan sungai lain dilaporkan melepasi paras waspada.