Dilantik Timbalan Menteri MITI, Tze Tzin fokus semikonduktor, teknologi tinggi

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin beriltizam untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dengan penuh dedikasi, amanah dan integriti demi kepentingan negara.Tze Tzin menerusi laman Facebooknya berkata, beliau akan memberikan tumpuan khusus untuk menyokong pembangunan industri semikonduktor dan teknologi tinggi, selaras dengan aspirasi Malaysia sebagai hab teknologi serantau."Pelantikan saya itu merupakan satu amanah besar. Oleh itu, sokongan anda semua amat bermakna dan menjadi dorongan untuk saya terus berkhidmat dengan lebih baik."Saya juga ingin merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada seluruh pengundi Bayan Baru atas kepercayaan yang diberikan kepada saya sepanjang empat penggal, satu penggal sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Pantai Jerejak dan tiga penggal sebagai Ahli Parlimen Bayan Baru," ujarnya dalam satu kenyataan pada Selasa.Sebelum ini, rombakan Kabinet Kerajaan Perpaduan menyaksikan 27 menteri dan timbalan menteri yang merangkumi pertukaran portfolio serta lantikan baharu.Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau perlu membuat sedikit penyesuaian susulan beberapa kekosongan dalam Kabinet  sekali gus memberi tumpuan bagi menjana pertumbuhan ekonomi yang lebih segar dan menyelesaikan masalah rakyat.Tze Tzin turut mengucapkan tahniah kepada Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani atas pelantikan sebagai Menteri MITI."Saya menantikan kerjasama yang lebih erat bersama beliau dalam memperkukuh agenda pelaburan, perdagangan dan perindustrian negara," jelasnya.Dalam masa sama Tze Tzin turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada isteri, ibu bapa serta seluruh keluarga yang sentiasa berdiri teguh sama ada dalam saat senang mahupun susah.