Pemilik kenderaan mewah beri alasan terlupa perbaharui LKM, insurans

KUALA LUMPUR - Alasan terlupa paling kerap diberikan pemilik kenderaan mewah yang disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kerana Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan insurans tamat tempoh.Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli, berkata alasan sedemikian sering digunakan pemilik kenderaan dan pihaknya tidak akan berkompromi, sebaliknya terus dengan tindakan sitaan."Kita tidak boleh terima alasan sedemikian atau apa juga alasan yang menyebabkan mereka culas memperbaharui LKM dan insurans kerana urusan memperbaharui dokumen itu kini mudah malah boleh dibuat secara dalam talian," katanya dalam sidang akhbar Ops Luxury 4.0 di Depoh JPJ Kuala Lumpur pada Selasa.Mengulas mengenai Ops Luxury, Aedy Fadly berkata sejak operasi itu dilaksanakan bermula 1 Julai lalu, pihaknya sudah menyita sebanyak 706 kenderaan mewah."Operasi ini sudah masuk bilangan keempat, dan menerusi Ops Luxury 4.0 bermula 12 Disember lalu, kita menyita 78 kenderaan mewah pelbagai jenama dalam tempoh empat hari pelaksanaannya atas pelbagai kesalahan berkaitan dokumen dan kelayakan memandu."Ops Luxury 4.0 mencatat sitaan tinggi dalam tempoh singkat dan antara kesalahan dikesan ialah tiada lesen kenderaan motor, tiada cukai jalan, tiada perlindungan insurans, lesen memandu tamat tempoh serta memandu tanpa lesen sah," katanya.Beliau berkata, semakan mendapati nilai tunggakan cukai jalan tertinggi membabitkan sebuah Lamborghini Huracan yang baru disita hari ini, berjumlah RM35,760 dan sebuah Audi A8 dengan tunggakan cukai jalan RM21,710."Kita turut menahan sebuah kenderaan mewah jenis Audi TT yang tidak memperbaharui cukai jalan sejak 2021, selain mengesan sebuah lagi kenderaan mewah jenis BMW i7 mempamerkan nombor pendaftaran palsu."Pemandu itu menggunakan nombor pendaftaran sebuah motosikal untuk membolehkan kenderaan yang belum didaftarkan dibawa di jalan raya," katanya.Aedy Fadly berkata, JPJ akan memperkukuh pelaksanaan operasi berkenaan dan tidak lagi hanya mengeluarkan saman seperti sebelum ini."Kenderaan mewah yang didapati tiada insurans atau cukai jalan akan terus disita dan tidak akan dilepaskan selagi semua tunggakan serta kesalahan tidak diselesaikan."Pemilik tidak boleh lagi mengambil risiko memandu di jalan raya dan membahayakan pengguna lain," katanya.